Kesatuan Eropah (EU) menyatakan kemungkinan untuk mengambil tindakan terhadap Israel sekiranya keadaan rakyat Palestin di Gaza tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif. Ekoran daripada itu, pendekatan EU yang longgar dan sering bertangguh terus menimbulkan persoalan tentang komitmennya dalam menangani isu pelanggaran hak asasi manusia dan kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel.
Menurut laporan oleh Perkhidmatan Tindakan Luar Kesatuan Eropah (EEAS) yang dibentangkan kepada barisan Menteri Luar EU, terdapat bukti jelas bahawa Israel telah melanggar tanggungjawab hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam Perkara 2 Perjanjian Persatuan EU-Israel.
Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas dalam sidang media selepas mesyuarat menteri luar di Brussels menyatakan bahawa jika keadaan di Gaza tidak bertambah baik, EU boleh membincangkan langkah-langkah lanjut dan menilai semula situasi itu pada Julai. Namun beliau enggan mengesahkan bentuk tindakan yang bakal diambil dan sekadar berkata:
“Persoalannya ialah apa yang kita (EU) mampu persetujui.”
Menurutnya lagi, keutamaan EU ketika ini ialah untuk menambah baik kehidupan rakyat Palestin dan menghentikan penderitaan serta kehilangan nyawa yang berlaku setiap hari di sana.
Amnesty International mengkritik EU kerana mengambil masa terlalu lama untuk menyemak semula Perjanjian Persatuan EU-Israel, meskipun pelanggaran hak asasi manusia oleh Israel telah berlaku sejak sekian lama. Ketika situasi di Gaza semakin meruncing, EU dilihat lebih cenderung meninjau semula rekod pelanggaran lampau, sedangkan Israel kini semakin agresif menormalisasi tindakan genosid terhadap rakyat Palestin.
Menurut pengkritik, pendekatan EU kini kelihatan lebih seperti usaha menyelamatkan imej mereka di pentas antarabangsa berbanding menyelamatkan nyawa rakyat Palestin. Penangguhan tindakan dan penggunaan bahasa yang lembut tanpa menyebut perkataan ‘genosid’ di dalam penilaian semula terhadap Israel jelas mencerminkan kegagalan moral dan kelemahan institusi dalam menghadapi krisis yang semakin meruncing.
Pada Isnin, Sepanyol menjadi satu-satunya negara yang secara terbuka menggesa penggantungan sepenuhnya Perjanjian Persatuan EU-Israel. Menteri Luar Sepanyol, José Manuel Albares menggesa embargo senjata dikenakan ke atas Israel sambil menyatakan bahawa rakyat Gaza memerlukan tindakan bukan lagi kecaman.
“Rakyat Palestin di Gaza perlukan tindakan. Kecaman telah dibuat berbulan-bulan tetapi bukan kecaman yang akan menghentikan perang yang tidak berperikemanusiaan ini – tindakan yang diperlukan,” kata José Manuel Albares.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noël Barrot pula menyatakan bahawa Israel telah jelas melanggar Perkara 2 perjanjian tersebut iaitu klausa berkenaan hak asasi manusia dan menteri-menteri akan menyimpulkan kesannya dalam mesyuarat bulan hadapan.
Namun negara seperti Jerman, Greece dan Itali menentang penggantungan perjanjian tersebut. Menteri Luar Belgium, Maxime Prévot mengingatkan agar isu kemanusiaan tidak dilupakan hanya kerana Israel kini berperang dengan Iran.
Perjanjian Persatuan EU-Israel yang mula berkuat kuasa sejak tahun 2000 menjadi asas kepada hubungan dagangan antara kedua-dua pihak dengan nilai perdagangan mencecah €68 bilion. EU juga merupakan pasaran eksport terbesar bagi Israel dengan menyumbang satu pertiga daripada jumlah eksport negara itu.
Penganalisis berpendapat bahawa pendekatan EU dalam menangani isu pelanggaran hak asasi manusia oleh Israel lebih banyak dipacu oleh kepentingan ekonomi dan hubungan strategik berbanding komitmen tulen terhadap prinsip hak asasi manusia.
Israel menolak hasil semakan EU berhubung pelanggaran hak asasi manusia dengan mendakwa laporan itu tidak wajar dijadikan asas untuk sebarang tindakan lanjut.
Dalam surat balas kepada EEAS, Menteri Luar Israel menegaskan bahawa negara itu sedang berjuang untuk kelangsungan hidup dan mempertahankan diri daripada apa yang disifatkan sebagai musuh bersama dunia Barat.
Israel turut menyatakan bahawa laporan yang dibentangkan oleh EU tidak harus diambil serius dan tidak sepatutnya menjadi rujukan dalam mana-mana perbincangan masa depan.
Sumber: Middle East Monitor, Quds News Network