Menurut dua sumber keselamatan Mesir, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, tidak akan ke Washington selagi agenda pertemuan itu merangkumi rancangan Presiden AS, Donald Trump untuk memindahkan penduduk Palestin dari Gaza.
Trump mencetuskan kemarahan dunia Arab dengan rancangannya yang mahu memindahkan lebih dua juta penduduk Palestin dari semenanjung Gaza secara kekal, meletakkannya di bawah kawalan AS dan menjadikannya sebagai "Riviera Timur Tengah.”
Tidak hanya itu, dia juga menuntut Mesir dan Jordan untuk menerima penduduk Palestin dan mengancam untuk menarik balik bantuan jika kedua-dua negara itu enggan berbuat demikian.
Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty dilaporkan berada di Washington pada minggu ini. Sumber Mesir mengatakan bahawa salah satu tujuan lawatannya adalah untuk mengelakkan lawatan presiden AS yang berpotensi menjadi tegang.
Menurut sumber Mesir, semasa pertemuan Abdelatty dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, beliau ada dimaklumkan bahawa agenda pemindahan akan dibincangkan sekiranya Sisi mengunjungi White House. Abdelatty membalas bahawa pertemuan itu tidak akan membawa manfaat dan sebarang perbincangan seharusnya berkaitan rancangan Mesir sendiri untuk pembinaan semula Gaza, yang menurut Mesir akan memastikan rakyat Palestin kekal di tanah mereka.
Fattah al-Sisi dan Raja Abdullah turut berbincang melalui telefon pada Rabu, antaranya menegaskan bahawa Gaza perlu dibangunkan semula tanpa memindahkan penduduknya.
Sumber: Reuters