.png)
Menjelang perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 antara Sepanyol dan Argentina, rakyat Palestin di semenanjung Gaza dilaporkan memberikan sokongan penuh kepada Sepanyol sebagai tanda penghargaan terhadap pendirian negara itu yang lantang mempertahankan hak rakyat Palestin.
Di tengah-tengah kemusnahan akibat perang genosid rejim Israel, peminat-peminat bola sepak di Gaza masih mempunyai semangat kesukanan yang tinggi dan memasang bendera Sepanyol di khemah-khemah penempatan sementara dan kawasan perlindungan sebagai simbol solidariti terhadap negara Eropah itu.
Bagi sebahagian besar rakyat Palestin, sokongan terhadap Sepanyol bukan sekadar berkaitan bola sepak, sebaliknya mencerminkan penghargaan terhadap pendirian Sepanyol yang mengiktiraf negara Palestin serta lantang mengkritik kekejaman rejim Israel ke atas Gaza.
Pada Mei 2024, kerajaan Sepanyol secara rasminya mengiktiraf negara Palestin serta membantu untuk menamatkan krisis kemanusiaan Gaza dengan menyampaikan bantuan kemanusiaan sambil turut menyeru gencatan senjata dengan segera.
Ramai penyokong turut mengangkat pemain sensasi Sepanyol, Lamine Yamal, selepas beliau terakam meraikan kemenangannya dengan mengibarkan bendera Palestin semasa sambutan kelab selepas memenangi kejohanan La Liga pada 11 Mei lalu.
Hatem al- Maghribi, ketua jurulatih pasukan Gaza al-Irada berkata, “Seluruh penduduk Gaza berharap Sepanyol muncul juara” . Beliau turut menyatakan penghargaannya kepada Hossam Hassan, ketua jurulatih Mesir atas sokongannya terhadap Palestin semasa Piala Dunia.
Sokongan dari rakyat Palestin ini merupakan penghargaan terhadap negara yang berdiri bersama rakyat Palestin ketika banyak negara lain memilih untuk berdiam diri.
Di Gaza, ramai penduduk berharap kemenangan Sepanyol akan menjadi mesej simbolik bahawa negara-negara yang mempertahankan hak rakyat Palestin mendapat sokongan masyarakat dunia.
Walaupun bola sepak tidak mampu menghentikan perang, penduduk Gaza berkata mereka melihat perlawanan akhir itu sebagai peluang untuk dunia sekali lagi memberi perhatian terhadap penderitaan rakyat Palestin yang masih berdepan serangan berterusan rejim Israel.
Sumber: al-Jazeera