Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Negara G7 menyatakan sokongan penuh kepada Israel susulan konflik terbaharu dengan Iran, sambil menyalahkan Tehran sebagai punca utama ketidakstabilan di Timur Tengah. Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan lewat Isnin, G7 menegaskan bahawa Israel mempunyai hak untuk mempertahankan diri dan menolak sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Iran memiliki senjata nuklear.


“Iran merupakan punca utama ketidakstabilan dan keganasan di rantau ini. Kami teguh dengan pendirian bahawa Iran tidak boleh sama sekali memiliki senjata nuklear,” menurut kenyataan itu.


Konflik tercetus selepas Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran pada Jumaat lalu yang didakwa bertujuan menghalang pembangunan senjata nuklear. Sejak itu, kedua-dua negara saling bertindak balas, mengakibatkan lebih 220 orang terkorban di Iran serta 24 orang terbunuh di Israel.


Iran menafikan sebarang usaha untuk memiliki senjata nuklear dan menegaskan bahawa negara itu berhak membangunkan teknologi nuklear bagi tujuan perdamaian, termasuk pengayaan, selaras dengan statusnya sebagai ahli kepada Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT).


Sementara itu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengesahkan bahawa Washington telah dimaklumkan lebih awal mengenai serangan Israel dan menyifatkannya sebagai satu serangan yang bagus. Namun, AS menegaskan ia tidak terlibat secara langsung dalam operasi tersebut disamping memberi amaran kepada Iran agar tidak menyasarkan kepentingan atau kakitangan AS di rantau itu.


Trump turut menyeru penduduk Iran untuk segera meninggalkan Tehran susulan peningkatan ancaman keselamatan. Setiausaha Negara AS, Marco Rubio juga mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawat dari United Kingdom (UK), Perancis dan Kesatuan Eropah (EU) bagi membincangkan langkah diplomatik selanjutnya.


G7 dalam kenyataan sama turut menggesa penyelesaian diplomatik terhadap krisis ini termasuk desakan ke arah gencatan senjata di Gaza serta menzahirkan kesediaan untuk bekerjasama dalam menstabilkan pasaran tenaga global yang terkesan akibat ketegangan.

Sumber: Reuters

Written by
Admin
Published on
June 17, 2025