Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Menurut laporan Euro-Med Human Rights Monitor, sekurang-kurangnya 20,000 wanita dan kanak-kanak perempuan Palestin telah terbunuh dalam genosid berterusan oleh Israel di Gaza sejak 7 Oktober 2023. Laporan itu mendedahkan bahawa purata lebih daripada seorang wanita atau kanak-kanak perempuan terbunuh setiap jam sejak serangan itu bermula.


Daripada 42,620 kanak-kanak yang kehilangan sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa akibat serangan di Gaza, kira-kira 6,500 daripadanya kehilangan ibu mereka.


"Ia adalah luka yang tidak mampu disembuhkan oleh mana-mana kanak-kanak," kata laporan tersebut.


Lebih sejuta wanita dan kanak-kanak perempuan di Gaza telah dipaksa meninggalkan kediaman mereka akibat serangan berterusan. Daripada jumlah itu, sekitar 150,000 merupakan wanita hamil dan ibu yang baru melahirkan anak.


Melahirkan anak di Gaza kini menjadi satu tindakan yang mengancam nyawa. Ramai wanita terpaksa bersalin dalam keadaan serba kekurangan, termasuk di dalam khemah, bangunan yang musnah dibom, atau di sisa-sisa hospital yang musnah— tanpa akses air bersih, kakitangan perubatan dan tanpa sebarang jaminan keselamatan.


Lebih 80% kemudahan kesihatan di Gaza telah dimusnahkan sejak serangan bermula. Ketika ini, hanya lima hospital yang masih mampu menyediakan perkhidmatan bersalin secara separa. Krisis ini menyebabkan satu daripada setiap tiga kehamilan diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi, manakala satu daripada lima bayi dilahirkan secara pramatang atau dengan berat badan rendah.


Kelaparan kini digunakan sebagai senjata dalam konflik ini. Lebih 95 % wanita hamil dan ibu menyusu dilaporkan mengalami kekurangan zat makanan yang serius. Ramai dalam kalangan mereka terpaksa berlapar selama berhari-hari, apabila Israel terus menyekat kemasukan bekalan asas, termasuk susu formula untuk bayi.


Di penjara-penjara Israel, wanita Palestin dilaporkan berdepan keganasan seksual dan reproduktif yang serius. Menurut laporan, tahanan wanita telah mengalami serangan seksual termasuk ugutan rogol, sentuhan tidak wajar pada payudara, serta tendangan pada bahagian sulit. Mereka juga dinafikan akses kepada keperluan asas seperti produk kebersihan haid. 


Di luar penjara, bukti menunjukkan askar Israel menjarah rumah Palestin dan menghina wanita. Gambar dan video yang disahkan memaparkan mereka memakai pakaian dalam wanita, mencemarkan barangan peribadi, serta memperolokkan mangsa yang terkorban dan pelarian.


Laporan ini diakhiri dengan peringatan tegas: dunia tidak boleh terus menutup mata terhadap pemusnahan yang disasarkan ke atas wanita dan kanak-kanak perempuan di Gaza. Kehilangan mereka bukan sekadar kerosakan sampingan, tetapi merupakan ciri utama apa yang digambarkan sebagai genosid berasaskan jantina.



Sumber: Quds News Network

Written by
Admin
Published on
July 18, 2025