Gabungan Kebangsaan Puak dan Klan Palestin memberi amaran kepada para pemimpin komuniti agar tidak bekerjasama dengan Gaza Humanitarian Foundation (GHF) yang didanai oleh AS-Israel selepas syarikat itu meminta senarai nama daripada beberapa mukhtar(ketua puak) atas alasan untuk menyelaras pengagihan bantuan.
Dalam satu kenyataan keras, gabungan itu menyatakan bahawa GHF bertindak sebagai proksi ketenteraan dan keselamatan bagi tentera penjajah Israel, dan memberi amaran bahawa sesiapa yang berurusan dengan syarikat tersebut akan berdepan dengan tindakan nasional, perundangan dan kabilah.
“Kami tidak akan makan daripada tangan yang turut membunuh kami,” kata kenyataan itu sambil menegaskan GHF bertanggungjawab atas lebih 800 kematian rakyat Palestin, 5,252 kecederaan, dan 42 orang hilang berhampiran pusat agihan syarikat itu yang kini digelar penduduk Gaza sebagai “perangkap maut.”
Gabungan itu berkata syarikat AS-Israel ini tidak boleh dipercayai dan harus dianggap sebagai pihak yang bermusuhan.
Mana-mana mukhtar yang bekerjasama dengan GHF akan ditarik semula cop rasmi mereka oleh pihak berkuasa, tambah kenyataan itu.
Pejabat Media Kerajaan Gaza sebelum ini telah mengesahkan peningkatan angka korban di lokasi GHF serta memberi amaran bahawa operasi syarikat itu hanya menambahkan lagi krisis kemanusiaan.
Gabungan puak tersebut menegaskan bahawa GHF bukan penyedia bantuan yang neutral. Mereka mengatakan penglibatan syarikat itu selari dengan kepentingan ketenteraan Israel dan operasinya hanya memperdalamkan krisis kemanusiaan Gaza, bukannya menyelesaikannya.
Ketika sekatan Israel semakin ketat dan kebuluran merebak di seluruh Gaza, kenyataan itu sekali lagi menegaskan bahawa rakyat Palestin tidak akan menerima bantuan yang dicemari darah atau agenda politik.
“Kami tidak akan menjadi alat untuk menindas rakyat kami sendiri,” tegas gabungan puak tersebut.
Sumber: Quds News Network