Ratusan aktivis antarabangsa yang menyertai konvoi ke sempadan Mesir-Gaza dalam usaha memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza mendakwa telah menjadi mangsa tindakan keras oleh pihak berkuasa Mesir dan Libya. Difahamkan mereka telah ditahan, diusir, didera dengan kekerasan fizikal dan pasport mereka dirampas. Dalam satu kenyataan lain, mereka mendakwa telah diserang oleh samseng berpakaian awam bersenjata cemeti dan ditahan secara ganas oleh pihak berkuasa Mesir di sekatan jalan raya luar Kaherah.
Inisiatif yang dikenali sebagai Global March to Gaza bermula bulan ini, membawa lebih 4,000 aktivis dari lebih 80 negara ke Mesir dalam usaha mendekati lintasan sempadan Rafah secara aman dan menarik perhatian dunia terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza.
Menurut jurucakap Global March to Gaza, Hannah Smith, para peserta telah berunding dengan pihak berkuasa selama beberapa jam di sekatan pertama sebelum pasukan keselamatan hilang sabar dan mula menyeret mereka ke dalam bas.
“Beberapa penunjuk perasaan ditarik keluar dan dipukul. Seorang wanita telah ditumbuk di muka,” kata Smith.
“Ia merupakan peningkatan yang sangat mendadak dan ganas. Jelas sekali ia telah dirancang,” kata Smith sambil menambah bahawa sekurang-kurangnya tiga orang telah dimasukkan ke hospital susulan insiden di sekatan tersebut.
Menurut penganjur, sekurang-kurangnya 40 aktivis dirampas pasport mereka di sekatan jalan keluar dari Kaherah dan ditahan di bawah panas terik. 15 aktivis lagi ditahan di hotel. Mereka semua berasal dari Perancis, Sepanyol, Kanada, Turkiye dan United Kingdom (UK).
“Kami merupakan gerakan aman yang menghormati undang-undang Mesir," ujar penganjur sambil menyeru agar kedutaan negara masing-masing campur tangan.
Perarakan ini bertujuan untuk menekan Israel agar membuka akses bantuan kemanusiaan ke Gaza. Perjalanan mereka bermula dengan perjalanan ke El Arish sebelum berarak ke sempadan Rafah. Namun pergerakan mereka disekat oleh polis dan pihak keselamatan Mesir di luar Ismailia, kira-kira 30 kilometer dari sempadan Sinai. Warga asing yang menyertai perarakan dipaksa turun dari kenderaan dan hanya rakyat Mesir dibenarkan melepasi sekatan.
Aktivis turut melaporkan bahawa mereka telah dipukul, ditumbuk dan diseret oleh individu berpakaian awam termasuk yang mengenakan pakaian tradisional Badwi dan bersenjata cemeti. Beberapa peserta dimasukkan ke hospital akibat kecederaan serta ada yang mendakwa serangan berlaku dalam gelap selepas lampu jalan dipadamkan.
“Ramai ahli kumpulan kami terpisah bahkan ada yang dipukul oleh polis... mereka pulang dalam keadaan lebam dan trauma,” kata Mo, aktivis dari Belanda.
“Pihak berkuasa Mesir nampaknya benar-benar mahu menghalang kami daripada mendekati sempadan Rafah.”
Sementara itu, sumber keselamatan memaklumkan kepada Reuters bahawa sekurang-kurangnya 88 individu telah ditahan atau diusir, termasuk 73 warga asing yang telah dihantar pulang ke Istanbul, manakala sekitar 100 orang lagi masih menunggu untuk dihantar pulang. Arahan baharu turut mewajibkan semua pelancong ke Mesir pada 12 hingga 16 Jun untuk memiliki tiket pulang yang disahkan.
Pihak berkuasa Mesir mendakwa bahawa lawatan ke Rafah memerlukan kelulusan awal atas alasan keselamatan. Namun, penganjur menegaskan bahawa penyelarasan telah dibuat dengan pihak rasmi dan menggesa pembebasan segera semua peserta yang ditahan.
“Kami hanya mahu menyampaikan solidariti dan bantuan kepada Gaza. Tetapi kini kami disekat di hotel, diusir dan bahkan ada yang diserang,” kata Hannah Smith, jurucakap perarakan.
Kementerian Dalam dan Luar Negeri Mesir masih belum memberikan sebarang maklum balas terhadap dakwaan tersebut. Sementara itu, sumber daripada Reuters tidak dapat mengesahkan tentang penahanan dan keadaan tersebut.
Sumber: Middle East Eye, Reuters, Al Jazeera