Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Sumud Nusantara Command Center (SNCC) mengesahkan bahawa kesemua delegasi Malaysia seramai 23 orang yang menyertai misi kemanusiaan aman Global Sumud Flotilla (GSF) telah ditahan oleh pihak Israel pada petang semalam waktu Malaysia, menurut jurucakap rasmi SNCC, Dato’ Dr Sani Araby Al-Kahery.

Antara yang ditahan adalah penyanyi terkenal berkelahiran Sabah, Zizi Kirana (kapal Huga); pelakon terkenal, Ardell Aryana (kapal Mikeno); pendakwah bebas, PU Rahmat (kapal Estrella); pempengaruh, Farah Lee (kapal Grande Blu); artis yang juga merupakan aktivis terkenal, Heliza Helmi dan adiknya, Hazwani Helmi (kapal Hio) dan ramai lagi.

Menurut beberapa sumber luar, kesemua mereka yang ditahan telah dibawa ke Pelabuhan Ashdod di Ashkelon, Tel Aviv sebelum dibawa ke penjara untuk disoal siasat. Dalam laporan lain menerusi laman sosial media rasmi GSF, pihak mereka mendakwa bahawa para aktivis yang ditahan telah dinafikan hak untuk disoal siasat bersama akses kepada seorang peguam bela, yang mana ia jelas melanggar hak asasi seseorang individu mengikut peraturan antarabangsa.

Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan patron bagi Sumud Nusantara dalam satu hantaran di laman sosial media rasmi beliau menegaskan bahawa Malaysia sedang memanfaatkan segala saluran diplomatik yang sedia kuat di peringkat antarabangsa untuk membebaskan para aktivis dan sukarelawan yang telah ditahan.

Misi kemanusiaan GSF yang juga mendapat penyertaan rasmi daripada Malaysia melalui Sumud Nusantara, merupakan gerakan kemanusiaan bersifat aman atau non-violence yang bertujuan untuk menghantar barangan bantuan ke Gaza melalui jalan laut serta memecahkan sekatan rejim Zionis keatas Gaza, di samping membuka koridor kemanusiaan di wilayah itu. 


Walaupun misi yang melibatkan 54 buah negara dengan penyertaan sebanyak kira-kira 50 buah kapal ini tidak berjaya sampai ke Gaza. Bagaimanapun, impaknya telah berjaya membuka mata dunia mengenai genosid yang berlaku di Gaza. Hasilnya, tercetus demonstrasi berskala besar dan sederhana di seluruh dunia sebaik sahaja rejim Zionis menahan para aktivis GSF, menuntut agar kerajaan mereka menekan Israel untuk membebaskan kesemua aktivis.


Sumber: SNCC, Al-Jazeera, Cinta Gaza Malaysia

Written by
Admin
Published on
October 3, 2025