Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Global Sumud Flotilla (GSF) merupakan armada awam dan kemanusiaan terbesar yang pernah dirancang untuk Gaza, disiapkan dalam tempoh tersingkat dalam sejarah, hasil penyatuan luar biasa empat gerakan akar umbi utama: Koalisi Freedom Flotilla, Global March to Gaza, Konvoi Sumud dan inisiatif Sumud Nusantara.


Koalisi ini menghimpunkan ribuan individu dari seluruh dunia, termasuk peguam, doktor, jururawat, wartawan, ahli parlimen dan pejuang hak asasi manusia.


“Kami melaksanakan misi membawa bekalan penting kepada penduduk Gaza serta mencabar sekatan haram yang merupakan antara jenayah paling berat di bawah undang-undang antarabangsa,” kata Melanie Schweizer, seorang peguam dan anggota Jawatankuasa Pemandu Global Sumud Flotilla.


Perkara ini diperkukuh dengan penubuhan Sumud Nusantara dari Asia, yang memperluaskan lagi jaringan solidariti sekaligus membuktikan bahawa penentangan terhadap genosid bukan terhad pada satu wilayah sahaja, tetapi merentasi seluruh dunia.


“Situasi di Gaza adalah satu krisis kemanusiaan. Global Sumud Flotila adalah misi kemanusiaan. Ia membawa bukan sahaja makanan dan ubat-ubatan, tetapi juga harapan jutaan manusia: bahawa kemanusiaan akan mengatasi sikap tidak peduli,” kata Schweizer.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery, mengesahkan bahawa kumpulan pertama sukarelawan Sumud Nusantara dari Malaysia telah berlepas ke Barcelona, Sepanyol pada Rabu, 27 Ogos untuk menyertai flotila bersejarah tersebut.


“Kumpulan awal ini terdiri daripada 15 sukarelawan daripada pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk MAPIM, Cinta Gaza Malaysia (CGM), Gagasan MyAqsa Defender dan Cinta Salam Malaysia (CSM). Misi ini bukan sekadar membawa bantuan, tetapi lebih penting menyatukan suara masyarakat dunia dalam mendesak agar peperangan di Gaza segera dihentikan,” katanya pada sidang media pelepasan.


Beliau menegaskan, misi ini merupakan kesinambungan daripada usaha Konvoi Sumud Nusantara dan Malam Himpunan & Selawat Malaysiaku Bersama Gaza yang dinaungi oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Kumpulan pertama dijadual memulakan pelayaran dari pelabuhan Sepanyol pada 31 Ogos, yang dijangka mengambil masa sekitar 17 hari untuk tiba di perairan Gaza. Sementara itu, kumpulan kedua akan berlepas dari Tunisia pada 4 September.


Dr Ahmad Sani menjelaskan bahawa pilihan laluan laut dibuat kerana Israel menutup sepenuhnya akses darat, laut dan udara menyebabkan penghantaran bantuan terhalang sepenuhnya. “Kebuluran di Gaza semakin parah hingga Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkannya sebagai darurat. Kami memohon doa dan sokongan rakyat Malaysia agar misi ini berjaya,” ujarnya.


Ketua Pegawai Eksekutif CGM, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, telah berlepas lebih awal ke Barcelona untuk menyelaras persiapan bersama jawatankuasa induk antarabangsa sebelum ketibaan kumpulan pertama.


Penganjur antarabangsa menyifatkan GSF sebagai flotila awam terbesar dalam sejarah, dengan puluhan kapal besar dan kecil bakal belayar dari pelbagai pelabuhan dunia. Menurut mereka, misi ini bukan sekadar membawa bekalan makanan dan perubatan, tetapi juga membawa harapan jutaan manusia bahawa kemanusiaan akan mengatasi kezaliman.

Sumber: Quds News Network, Astro Awani

Written by
Admin
Published on
August 28, 2025