Aktivis Sweden, Greta Thunberg merupakan salah seorang diantara lebih 70 orang dari pelbagai kewarganegaraan yang akan meninggalkan Israel pada hari Isnin, 6 Oktober 2025 selepas mereka ditahan di atas kapal flotila bantuan Gaza yang telah dipintas.
Kebanyakan daripada mereka yang dibebaskan daripada tahanan Israel akan dihantar ke Greece, di mana mereka boleh menaiki penerbangan pulang ke negara asal masing-masing, menurut kenyataan Kementerian Luar Israel pada Ahad.
Antara mereka yang akan meninggalkan Israel pada Isnin termasuk 28 warganegara Perancis, 27 warga Greece, 15 warga Itali dan 9 warga Sweden. Sementara itu, 21 warga Sepanyol telah kembali ke Sepanyol pada Ahad dari Israel.
Walau bagaimanapun, beberapa warga asing masih kekal dalam tahanan Israel, termasuk 28 warganegara Sepanyol. Kesemua mereka menaiki flotila Global Sumud yang terdiri daripada 42 kapal, membawa aktivis dan ahli politik yang berhasrat untuk menembusi sekatan Israel bagi menghantar bantuan ke Gaza, di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa kebuluran telah melanda.
Israel mula memintas kapal-kapal tersebut di perairan antarabangsa pada hari Rabu, dan menahan lebih daripada 470 orang yang berada di atas kapal berkenaan.
Kementerian Luar Negeri Itali dan Greece berkata bahawa warganegara mereka yang dibebaskan akan diterbangkan dari Israel ke Athens pada Isnin. Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, menulis di X bahawa 15 rakyat Itali akan menerima bantuan bagi pemindahan seterusnya ke Itali.
Kementerian Luar Perancis menyatakan bahawa 28 rakyat Perancis akan diterbangkan ke Greece. Mereka merupakan sebahagian besar daripada 30 warganegara Perancis yang ditahan oleh Israel di atas flotila tersebut.
Kementerian Luar Sweden pula tidak menyatakan destinasi penerbangan rakyatnya, namun media Sweden melaporkan bahawa mereka juga mungkin akan ditempatkan dalam penerbangan ke Greece.
Pesawat yang membawa para aktivis yang dihantar pulang itu akan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel dan mendarat di Athens.Secara keseluruhan, 170 aktivis flotila telah dihantar pulang setakat ini.
Mereka yang masih ditahan kini dipenjarakan di Penjara Ketziot, dalam keadaan yang dianggap tidak memuaskan oleh pasukan peguam yang mewakili mereka.
Sumber: Times of Israel