.png)
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), António Guterres memberi amaran pada hari Rabu bahawa perang di Iran telah melangkaui semua sempadan, sekali gus menyifatkan konflik itu sebagai sudah tidak terkawal dan memberi amaran bahawa dunia kini berdepan kemungkinan konflik yang jauh lebih luas.
“Lebih tiga minggu berlalu, perang ini sudah tidak terkawal,” kata Guterres kepada wartawan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PBB di New York sambil menambah, “Konflik ini telah melepasi batas yang bahkan pemimpin pun tidak sangka boleh berlaku.”
Beliau turut menggesa agar peningkatan ketegangan ketenteraan dihentikan. Guterres berkata, “Sudah tiba masanya untuk berhenti menaiki tangga eskalasi dan mula menaiki tangga diplomasi, serta kembali menghormati sepenuhnya undang-undang antarabangsa.”
Menyentuh pihak utama yang terlibat dalam perang, beliau berkata, “Pesanan saya kepada Amerika Syarikat (AS) dan Israel adalah sudah tiba masanya untuk menamatkan perang ini kerana penderitaan manusia semakin mendalam, korban awam meningkat dan impak ekonomi global semakin memusnahkan.”
Guterres turut menggesa Iran agar menghentikan serangannya ke atas negara-negara Teluk, dengan alasan bahawa mereka bukan pihak terlibat dalam konflik ini.
Tambahan pula, laluan perkapalan melalui Selat Hormuz merupakan saluran penting bagi perdagangan barang dan tenaga global, yang mana telah banyak terganggu akibat peningkatan ketegangan di negara Teluk susulan serangan bersama AS dan Israel ke atas Iran serta tindakan balas Tehran.
Selat ini, yang menghubungkan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Qatar, Iraq, dan Iran kepada pasaran global, mengendalikan kira-kira 25% perdagangan minyak dunia, sekitar 20% perdagangan gas asli cecair dan hampir 30% perdagangan baja.
Guterres turut menumpukan perhatian kepada Lubnan dan berkata, “Israel mesti menghentikan operasi ketenteraan dan serangan di Lubnan, yang paling teruk menimpa orang awam,” sambil menambah, “Model Gaza tidak harus diulang berlaku di Lubnan.”
Dalam usaha meredakan ketegangan, Guterres turut mengumumkan pelantikan Jean Arnault dari Perancis sebagai utusan peribadi beliau untuk memimpin usaha PBB berkaitan konflik ini dan kesannya. Arnault sebelum ini merupakan utusan peribadi Ketua PBB mengenai Afghanistan dan isu serantau pada tahun 2021.
Apabila ditanya mengenai peranan Arnault, Guterres berkata beliau akan melakukan segala yang mungkin untuk menyokong semua usaha perundingan, keamanan dan berhubungan baik dengan semua pihak di Timur Tengah.
Guterres menekankan keperluan diplomasi dan penghormatan penuh terhadap undang-undang antarabangsa, sambil menyatakan harapan agar pihak terlibat dalam perang Iran mencapai persetujuan untuk menamatkan konflik dahsyat ini.
Rantau ini telah tergugat sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari, yang setakat ini telah mengorbankan lebih 1,300 orang, termasuk Pemimpin Tertinggi ketika itu, Ali Khamenei. Iran telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, serta Jordan, Iraq, dan negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, menyebabkan korban dan kerosakan infrastruktur serta mengganggu pasaran global dan penerbangan.
Sumber: Anadolu Ajansi