
Gerakan Perjuangan Islam, HAMAS, mengesahkan persetujuannya terhadap pelan hala tuju bagi pelaksanaan fasa kedua pelan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk Gaza, susulan rundingan bersama pihak pengantara dan penjamin perjanjian gencatan senjata.
Pengumuman itu dibuat selepas satu pertemuan antara delegasi pimpinan HAMAS yang diketuai Dr Khalil al-Hayya dengan delegasi yang mewakili pihak pengantara dan penjamin perjanjian tersebut.
Menurut HAMAS, pelan hala tuju itu dikemukakan oleh penyelaras Majlis Keamanan, Nikolay Mladenov, bersama pihak pengantara. HAMAS berkata keputusan untuk menerima cadangan tersebut dibuat berdasarkan kepentingan rakyat Palestin, dengan matlamat untuk mencapai gencatan senjata kekal serta pengunduran tentera penjajah Israel dari semenanjung Gaza.
Dalam kenyataannya, HAMAS menegaskan bahawa gerakan itu bersama pejuang Palestin telah mematuhi sepenuhnya segala kewajipan di bawah fasa pertama perjanjian gencatan senjata yang dicapai di Sharm el-Sheikh.HAMAS membandingkan pendirian tersebut dengan tindakan rejim Israel yang didakwa gagal mematuhi perjanjian berkenaan.
Menurut HAMAS, tentera penjajah Israel sebaliknya kembali meningkatkan operasi ketenteraan di lapangan, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Gaza.
Gerakan itu turut menyatakan bahawa rejim haram Israel telah mengumumkan penolakan terhadap pelan hala tuju tersebut, meskipun pihak pengantara sedang berusaha membawa proses gencatan senjata ke fasa seterusnya.
HAMAS menyifatkan penerimaan mereka terhadap pelan hala tuju tersebut sebagai sebahagian daripada usaha untuk beralih daripada gencatan senjata sementara kepada penamatan perang secara kekal. Selaras dengan pendirian tersebut, gerakan itu menegaskan bahawa proses tersebut akhirnya perlu membawa kepada pengunduran tentera penjajah Israel dari semenanjung Gaza.
HAMAS berkata delegasi pimpinannya berharap usaha diplomatik yang sedang berlangsung akan berjaya menamatkan penderitaan rakyat Palestin serta mewujudkan keamanan dan kestabilan di rantau itu.
Sumber :The Palestine Chronicle