Haaretz: Israel Simpan 1500 Mayat di Sde Timan
Palestin yang dijajah (Quds News Network) - Akhbar Israel, Haaretz memetik daripada sumber yang dipercayai, bahawa negara haram Israel menyimpan kira-kira 1,500 mayat warga Palestin yang tidak dikenali di kem tahanan Sde Timan.
Akhbar tersebut menambah bahawa mayat-mayat tersebut disimpan di dalam peti beku di pangkalan tentera yang dikenali sebagai Sde Timan. Mayat-mayat tersebut hanya dikenali berpandukan nombor dan berada dalam keadaan yang amat menyedihkan. Turut dilaporkan, beberapa mayat kehilangan anggota badan dan ada yang tidak dapat dikenali. Ini menunjukkan bahawa mereka telah meninggal dunia sejak awal peperangan lagi.
Semalam, peguam dan Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan Palestin mendedahkan tindakan dahsyat yang dikenakan tentera Israel terhadap tahanan Palestin di kem Sde Timan. Antara tindakan dahsyat ialah seorang tahanan merayu untuk mendapatkan rawatan perubatan namun akhirnya meninggal dunia akibat diseksa. Terdapat juga insiden rogol, termasuk seorang tahanan dilucutkan pakaian sepenuhnya dan dimasukkan tiub pemadam api ke dalam rektumnya serta bahan-bahan (bahan tidak dapat dikenal pasti) telah disembur ke dalam tubuhnya. Selain itu, seorang lagi tahanan yang dilucutkan pakaian, dikenakan kejutan elektrik di rektum dan alat kelaminnya. Terdapat bentuk serangan seksual lain turut dilaporkan oleh peguam.
Di kem tahanan Sde Timan, tahanan turut diletakkan di atas tanah dalam keadaan tangan mereka diikat di belakang kepala dan anjing akan dibiarkan untuk menyerang mereka. Tidak hanya dengan itu, tahanan diletakkan dalam posisi tergantung disertai dengan serangan anjing polis.
Sumber: Quds News Network