Fraksi-fraksi Palestin bertemu di Doha dan memberkati perjanjian gencatan senjata serta pertukaran tawanan.
Atas undangan HAMAS, fraksi-fraksi dan kumpulan Palestin mengadakan mesyuarat pada Sabtu di Doha untuk membincangkan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tawanan dengan penjajah melalui perantaraan Qatar dan Mesir.
Pertemuan tersebut dihadiri oleh delegasi kepimpinan HAMAS diketuai oleh Ketua Majlis Kepimpinan HAMAS, Muhammad Darwish, delegasi Jihad Islam yang diketuai oleh Setiausaha Agung, Ziad al-Nakhalah, delegasi Popular Front for the Liberation of Palestine diketuai oleh Timbalan Setiausaha Agung, Jamil Mazhar, delegasi Democratic Front for the Liberation of Palestine diketuai oleh Timbalan Setiausaha Agung, Majda al-Masri, delegasi Palestinian National Initiative diketuai oleh Setiausaha Agung, Dr. Mustafa Al-Barghouthi, delegasi Popular Front for the Liberation of Palestine – General Command diketuai oleh ahli Biro Politik, Ramez Mustafa, delegasi Palestinian People's Party diketuai oleh Shamikh Abu Sakhr, serta Ketua Badan Hal Ehwal Tawanan dan Pembebasan, Qadura Fares.
Muhammad Darwish membuka pertemuan tersebut dengan mendoakan semoga para syuhada Intifada Taufan al-Aqsa dilimpahi rahmat daripada rakyat Palestin dan umat Arab serta Islam. Selain memohon kesembuhan segera untuk para mangsa yang cedera dan memuji ketabahan rakyat Palestin meskipun berhadapan dengan segala pengorbanan, kesakitan, dan penderitaan.
Darwish menegaskan bahawa pertempuran Intifada Taufan al-Aqsa dan perang pembasmian kaum Zionis merupakan titik perubahan besar dalam isu Palestin. Ia sepatutnya mendorong kita ke arah perpaduan bagi menghadapi bahaya besar yang melingkari isu ini. Beliau menyifatkan pertemuan ini sebagai mesej perpaduan kebangsaan yang menyeluruh.
Beliau menambah:
"Saya menyeru kepada saudara-saudara kita dalam gerakan Fatah dan semua fraksi lain bahawa kami sentiasa bersedia untuk bersatu pada bila-bila masa dan di mana jua."
Beliau menegaskan bahawa para anggota yang hadir mahukan kerajaan perpaduan kebangsaan.
"Jika perkara ini tidak dapat direalisasikan, maka mari kita uruskan Gaza secara nasional. Sama-sama menyumbang dalam menyembuhkan luka rakyat kita, membangunkan semula, dan memberi bantuan kepada orang ramai."
Beliau turut menyeru:
"Mari kita buktikan pada saat ini bahawa kita adalah rakyat pejuang yang teguh dan bersatu. Kita akan mengalahkan musuh serta membebaskan seluruh tanah air dan Masjid al-Aqsa."
Sementara itu, Ketua Delegasi Perunding, Dr. Khalil al-Hayya menjelaskan butiran perjanjian dengan penjajah dan mekanisme pelaksanaannya, serta mengulas perjalanan proses rundingan sepanjang tempoh yang lalu.
Para ketua delegasi yang hadir menegaskan keperluan untuk melindungi pencapaian kebangsaan ini yang telah dicapai berkat ketabahan dan pengorbanan rakyat Palestin di Gaza, yang berjaya menghentikan serangan dan perang pembasmian terhadap rakyat kita. Mereka memuji peranan dan usaha HAMAS dalam mengetuai pertempuran di lapangan dan di meja rundingan.
Mereka menekankan pentingnya memelihara perpaduan kebangsaan Palestin dan membentuk kerajaan perpaduan kebangsaan Palestin berdasarkan Perjanjian Beijing yang terakhir. Sementara menunggu pelaksanaannya, mereka menegaskan bahawa pasca penamatan serangan adalah urusan dalaman Palestin.
Para hadirin turut menegaskan keperluan untuk mempercepat proses bantuan kepada rakyat kita yang terkesan di Gaza, menyediakan segala keperluan untuk tempat perlindungan kecemasan, bantuan, dan proses pembinaan semula.
Mereka memberi penghormatan kepada semua sayap ketenteraan fraksi-fraksi pejuang Palestin yang berani mempertahankan rakyat daripada serangan, serta mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong rakyat kita, terutamanya dari Lubnan, Yaman, Iran, Iraq, dan semua umat Arab, Islam, serta para pembela keadilan di seluruh dunia yang memberikan sokongan dalam pelbagai bentuk.
Para hadirin turut menyampaikan penghargaan khas kepada pihak perantara Qatar dan Mesir yang telah berusaha keras untuk mencapai perjanjian yang terhormat ini, sambil menegaskan hak rakyat kami untuk terus menentang penjajahan sehingga tercapainya matlamat pembebasan, kepulangan, dan kemerdekaan.
Laman Rasmi - HAMAS