
HAMAS yang diwakili jurucakapnya, Hazem Qassem mengecam keputusan baharu yang diluluskan oleh kabinet keselamatan penjajah untuk meluaskan penempatan haram di Tebing Barat. Gerakan itu menyatakan bahawa langkah tersebut bertujuan menelan seluruh tanah Palestin dan menyingkirkan penduduk asalnya.
Beliau menambah bahawa perkembangan ini menuntut perpaduan Palestin secara praktikal serta satu tindak balas nasional bagi menghadapi dasar-dasar agresif rejim haram Israel.
Terdahulu pada Ahad, pihak penjajah meluluskan beberapa langkah yang mengubah rangka kerja undang-undang dan sivil di Tebing Barat bagi memperkukuh kawalannya.
Penyiar awam Israel, KAN, melaporkan bahawa keputusan tersebut termasuk membatalkan undang-undang era Jordan yang melarang penjualan tanah Palestin kepada orang Yahudi, membuka rekod pemilikan tanah, serta memindahkan kuasa kelulusan permit pembinaan di satu blok penempatan di al-Khalil (Hebron) daripada perbandaran Palestin kepada Pentadbiran Awam Israel.
Langkah itu juga meluaskan pengawasan dan penguatkuasaan rejim haram Israel ke kawasan yang diklasifikasikan sebagai Kawasan A dan Kawasan B, dengan alasan pelanggaran berkaitan pembinaan tanpa lesen, isu air, serta kerosakan ke atas tapak arkeologi dan alam sekitar. Perluasan ini membolehkan perobohan dan penyitaan harta milik Palestin dilakukan walaupun di kawasan yang ditadbir secara sivil dan keselamatan oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Akhbar Israel, Yedioth Ahronoth turut melaporkan bahawa sebahagian keputusan kabinet tersebut memindahkan kuasa perancangan dan pembinaan di Masjid Ibrahimi dan kawasan sekitarnya, serta tapak-tapak keagamaan lain daripada perbandaran al-Khalil (Hebron) kepada Pentadbiran Awam Israel, bertentangan dengan pengaturan di bawah Protokol Hebron 1997 antara kerajaan haram Israel dan Palestine Liberation Organization (PLO).
Sumber: Anadolu Ajansi