HAMAS telah mengeluarkan satu kenyataan yang mengecam tindakan Israel merampas kapal bantuan kemanusiaan Madleen yang dalam perjalanan ke Gaza, dengan menyifatkannya sebagai bentuk “keganasan negara yang terancang”.
“Kami memberi penghormatan kepada para aktivis dari pelbagai negara yang telah menghadapi ancaman dengan begitu kuat dan ini menegaskan bahawa Gaza tidak bersendirian,” kata kenyataan itu.
HAMAS turut menyatakan bahawa konvoi Madleen serta konvoi bantuan kemanusiaan lain yang menuju ke Gaza dari Algeria, Tunisia dan Jordan merupakan bukti nyata terhadap kegagalan propaganda Israel.
Gerakan itu turut menyeru agar para aktivis dibebaskan serta menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan-badan antarabangsa untuk mengecam rampasan tersebut.
“Rampasan kapal Madleen tidak akan menutup suara golongan merdeka, dan ia juga tidak akan menghentikan gelombang solidariti global yang semakin meningkat terhadap Gaza,” kata HAMAS.
Sumber: Al Jazeera, Quds News Network