
Sayap ketenteraan HAMAS, Briged Izzuddin al-Qassam, memperkenalkan jurucakap baharu pada Isnin semalam sambil mengesahkan kesyahidan jurucakap sebelumnya dalam serangan rejim Israel ke atas bandar Gaza pada Ogos lalu.
Dalam ucapan pra-rakam yang disiarkan oleh media Arab semalam, jurucakap baharu tersebut mendedahkan bahawa pendahulunya, yang dikenali dengan nama samaran Abu Ubaidah, sebenarnya ialah Huzaifah Samir al-Kahlout.
Jurucakap baharu itu, yang identitinya masih tidak didedahkan turut menggunakan nama samaran yang sama.
Sebelum ini, pihak tentera rejim Israel menyatakan pada Mei lalu bahawa mereka telah berjaya membunuh Mohammad al-Sinwar, Komander Briged Izzuddin al-Qassam yang juga adik lelaki bekas pemimpin HAMAS, Yahya Sinwar. Tiga bulan kemudian, mereka menyatakan bahawa mereka juga telah membunuh Abu Ubaidah.
Ini merupakan kali pertama HAMAS secara rasmi mengesahkan identiti al-Kahlout, selepas beliau berkhidmat sebagai jurucakap Briged al-Qassam dan menjawat posisi sebagai Ketua Unit Medianya selama dua dekad tanpa pernah mendedahkan wajahnya kepada umum.
“Kami meratapi pemergian pemimpin tinggi kami, Huzaifah Samir al-Kahlout yang turut dikenali dengan Abu Ibrahim, Ketua Unit Media al-Qassam yang telah gugur syahid selepas dua dekad melemahkan musuh dan meneguhkan hati orang-orang beriman,” kata Abu Ubaidah yang baharu.
“Kami memberi penghormatan kepada lelaki bertopeng berselendang keffiyeh merah, suara lantang bangsa ini — Abu Ubaidah — yang tidak pernah meninggalkan bangsanya pada saat-saat paling kelam dan yang berbicara kepada mereka dari jantung medan tempur.”
Al-Kahlout telah berkhidmat sebagai jurucakap sayap ketenteraan HAMAS selama lebih 20 tahun. Sentiasa tampil secara rahsia dengan wajah ditutupi keffiyeh merah, sangat sedikit yang diketahui tentang kehidupan peribadi al-Kahlout, sehingga beliau digelar “lelaki bertopeng” dalam dunia Arab.
Beliau paling dikenali melalui ucapan-ucapan rasminya, di mana antara intipatinya banyak disampaikan berkenaan perkembangan di medan tempur, menonjolkan kejayaan ketenteraan HAMAS serta mencabar dan memprovokasi rejim Israel.
Sebagai salah seorang tokoh paling berpengaruh dalam HAMAS, Huzaifah al-Kahlout telah meraih sokongan dan penghormatan meluas di seluruh dunia Arab, dengan penampilannya yang ikonik yang sering ditiru dalam demonstrasi-demonstrasi, manakala namanya turut diabadikan dalam lagu-lagu.
Profilnya meningkat dengan ketara selepas serangan mengejut yang dipimpin HAMAS ke atas Israel pada Oktober 2023, serta perang rejim Israel yang menyusul di semenanjung Gaza.
Abu Ubaidah merupakan nama samaran yang beliau gunakan semasa Intifadah Kedua (2000-2005) ketika pertama kali muncul di khalayak awam. Nama tersebut berkemungkinan merujuk kepada Abu Ubaidah ibn al-Jarrah, salah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang dihormati dan komander tentera lagenda.
Penampilan awam pertamanya sebagai Jurucakap Briged Izzuddin al-Qassam adalah pada 2004. Beliau mengadakan sidang media pada bulan Oktober tahun yang sama semasa serangan darat rejim Israel di utara Gaza.
Sejak itu, beliau menjadi satu-satunya jurucakap ketenteraan kumpulan itu, menyampaikan ucapan dan maklumat terkini medan perang melalui platform media rasmi HAMAS. Peranannya telah dimaktubkan secara rasmi dalam Pejabat Media HAMAS pada 2004.
Penampilan besarnya yang pertama berlaku pada 2006 apabila beliau mengumumkan penahanan tentera haram Israel, Gilad Shalit.
Salah satu ucapan beliau yang paling berpengaruh adalah pada 28 Oktober 2024, ketika beliau mengkritik dengan jelas pemimpin-pemimpin dunia Arab kerana gagal membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Pada April 2024, Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan ke atas beliau dan menggelarnya sebagai ‘Ketua Perang Risikan HAMAS’. Jabatan Perbendaharaan AS turut menuduh beliau mengetuai Jabatan Pengaruh Siber Briged al-Qassam.
Sumber: Middle East Eye, Reuters