.png)
Gerakan Perjuangan Islam (HAMAS) menyambut baik keputusan kerajaan Sepanyol untuk menarik balik dutanya dari wilayah haram Israel sekaligus mengurangkan hubungan perwakilan diplomatiknya. HAMAS menyifatkan langkah ini sebagai kesinambungan daripada pendirian terpuji kerajaan dan rakyat Sepanyol dalam menolak pembunuhan beramai-ramai (genosid) yang sedang menimpa rakyat Palestin di semenanjung Gaza, selain menolak pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh pihak rejim pendudukan.
Dalam satu kenyataan media, HAMAS menyatakan bahawa keputusan tersebut merupakan satu pendirian mulia yang mencerminkan komitmen sebenar terhadap nilai-nilai kemanusiaan. HAMAS turut menghargai keberanian pendirian Sepanyol, sambil sekali lagi menyeru seluruh negara di dunia agar memutuskan segala bentuk hubungan dengan rejim Israel dan memberikan tekanan ke atasnya bagi menghentikan jenayah serta serangan berterusan terhadap rakyat Palestin dan juga negara-negara di rantau tersebut.
Menurut warta rasmi kerajaan, langkah yang diumumkan pada Rabu semalam itu dibuat ketika Sepanyol menjadi antara negara Kesatuan Eropah (EU) yang paling lantang mengkritik perang genosid rejim Israel di Gaza serta perang terbaharu terhadap Iran yang dilancarkan bersama oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
“Berdasarkan cadangan Menteri Luar Negeri, EU dan Kerjasama , serta selepas perbincangan dalam mesyuarat Majlis Menteri pada 10 Mac 2026, saya dengan ini memerintahkan penamatan pelantikan Cik Ana María Sálomon Pérez sebagai Duta Sepanyol ke ‘Negara’ Israel,” menurut kenyataan dalam warta tersebut.
Kedutaan Sepanyol di Tel Aviv akan diketuai oleh seorang kuasa usaha (charge d’affaires), menurut sumber di Kementerian Luar, seperti dilaporkan agensi berita Reuters.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez merupakan antara segelintir pemimpin berhaluan kiri di Eropah yang mengecam serangan AS-Israel ke atas Iran sebagai serangan yang tidak dapat diterima, sambil menegaskan bahawa pendirian Madrid adalah menolak peperangan.
Kerajaan Sánchez juga antara beberapa buah negara Eropah yang secara konsisten mengecam tindakan rejim Israel di Gaza. Pada Oktober lalu, parlimen Sepanyol meluluskan undang-undang yang menetapkan sekatan senjata menyeluruh terhadap rejim, termasuk larangan kekal terhadap penjualan senjata, teknologi dwi-guna dan peralatan ketenteraan sebagai tindak balas terhadap genosid tersebut.
Sumber: Shehab News, Al Jazeera