HAMAS menyatakan kesediaan menerima sebahagian daripada 20 pelan gencatan senjata yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi menamatkan perang hampir dua tahun Israel ke atas Gaza. Bagaimanapun, HAMAS menegaskan bahawa beberapa elemen masih memerlukan rundingan lanjut. Antara kandungan pelan itu adalah gencatan senjata segera; pertukaran semua 48 tahanan Israel dengan tahanan Palestin; pembentukan kerajaan peralihan antarabangsa; dan pelucutan senjata HAMAS. Dalam maklum balasnya, HAMAS menyatakan persetujuan membebaskan semua tahanan Israel mengikut mekanisme pertukaran yang dicadangkan serta bersedia memulakan rundingan segera dengan perantara.
HAMAS turut menyatakan kesediaan menyerahkan pentadbiran Gaza kepada badan Palestin bebas (teknokrat) yang disokong oleh dunia Arab dan Islam, namun menolak cadangan Lembaga Keamanan antarabangsa yang diketuai Trump dan Tony Blair. Menurut HAMAS, masa depan Gaza dan hak rakyat Palestin mesti ditentukan berdasarkan pendirian nasional dan undang-undang antarabangsa. Pegawai kanan HAMAS, Mousa Abu Marzouk menegaskan bahawa kumpulannya tidak akan menerima mana-mana pihak bukan Palestin untuk mengawal Gaza.
Trump dalam reaksinya menyatakan keyakinan bahawa HAMAS kini bersedia untuk keamanan yang berkekalan dan menggesa Israel menghentikan pengeboman di Gaza agar pembebasan tebusan dapat dilakukan dengan selamat. Beliau menegaskan bahawa pelan tersebut bukan hanya tentang Gaza, tetapi juga tentang mencapai keamanan jangka panjang di Timur Tengah. Al Jazeera melaporkan bahawa kenyataan HAMAS membuka ruang baharu untuk rundingan dengan pemerhati menjangkakan lebih banyak pertukaran pandangan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Qatar dan Mesir sebagai perantara menyambut baik maklum balas HAMAS dan bersedia meneruskan rundingan bersama AS dan negara-negara Arab lain. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyeru agar semua pihak merebut peluang menamatkan konflik.
Walau bagaimanapun, ketika diplomasi sedang dijalankan, serangan Israel di Gaza masih berterusan dengan penggunaan kenderaan kawalan jauh yang memusnahkan kawasan kejiranan padat penduduk. Menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, lebih daripada 66,200 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak telah terbunuh sejak Oktober 2023.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kini berdepan tekanan hebat daripada pelbagai pihak di dalam wilayah haramnya. Keluarga tebusan yang masih ditawan HAMAS menggesa beliau supaya segera memulakan rundingan pembebasan, sementara rakyat menuntut penamat kepada konflik. Namun, ahli politik sayap kanan dalam koalisinya menekan supaya operasi ketenteraan di Gaza diteruskan tanpa sebarang kompromi.
Suruhanjaya Siasatan PBB serta pakar hak asasi manusia antarabangsa telah menyimpulkan bahawa Israel melakukan jenayah genosid di Gaza, namun kerajaan Netanyahu tetap mempertahankan tindakannya sebagai langkah mempertahankan diri. Dalam respons HAMAS yang dilihat Reuters, kumpulan itu menolak pelucutan senjata dan menuntut pengunduran penuh serta-merta Israel dari Gaza, menunjukkan jurang besar antara kedua-dua pihak.
Sumber: Al Jazeera, Reuters