.png)
Menurut satu sumber dalam Lembaga Keamanan melaporkan bahawa rundingan antara rejim Israel dan Gerakan Perjuangan Islam (HAMAS) menunjukkan perkembangan yang sangat positif, dengan perjanjian dijangka dimeterai dalam tempoh beberapa jam atau beberapa hari lagi.
Menurut laporan akhbar Haaretz, kebanyakan isu utama telah diselesaikan dan perbincangan kini tertumpu kepada pemuktamadan draf akhir perjanjian.
Antara perkara yang masih dibincangkan ialah pengurusan senjata HAMAS selepas tamat perang. Laporan itu mendakwa Amerika Syarikat (AS) dan pihak pengantara mencadangkan supaya semua senjata di Gaza diletakkan di bawah kawalan sebuah jawatankuasa teknokrat yang dijangka mentadbir wilayah itu selepas perang.
Menurut sumber diplomatik yang dipetik media Israel, cadangan tersebut bukan sekadar merekodkan senjata, malah melibatkan penyimpanan senjata berat di bawah kawalan jawatankuasa berkenaan, di samping pelaksanaan pelan untuk menutup rangkaian terowong dan kemudahan pembuatan senjata.
Walau bagaimanapun, anggota delegasi rundingan HAMAS, Ghazi Hamad berkata bahawa isu senjata tidak boleh dipisahkan daripada pelaksanaan keseluruhan perjanjian, khususnya pengunduran penuh tentera rejim Israel dari Gaza serta proses pembinaan semula wilayah itu.
Beliau berkata HAMAS tidak akan mengambil sebarang langkah berkaitan penyimpanan atau pengurusan senjata selagi rejim Israel belum melaksanakan komitmennya untuk berundur sepenuhnya dari Gaza.
Menurut Hamad, penyimpanan senjata akan diuruskan oleh jawatankuasa nasional Palestin tanpa campur tangan rejim Israel, sambil menegaskan bahawa HAMAS tidak akan melaksanakan sebarang komitmen sekiranya pihak Israel gagal memenuhi obligasinya di bawah perjanjian.
Kenyataan itu sekali gus menafikan dakwaan bahawa HAMAS bersetuju untuk melucutkan senjata sebelum pengunduran tentera Israel, sebaliknya menegaskan bahawa sebarang pengaturan berkaitan senjata hanya akan dibincangkan selepas syarat-syarat utama perjanjian dilaksanakan.
Sumber: Palm Strategic Initiative Center, Anadolu Agency