.png)
HAMAS mengumumkan pembubaran Jawatankuasa Pentadbiran Gaza adalah sebagai sebahagian daripada langkah peralihan pentadbiran kepada Jawatankuasa Kebangsaan untuk Pentadbiran Gaza (NCAG), sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan pelan pentadbiran pascaperang di wilayah itu.
Langkah tersebut dibuat selepas Pengerusi Jawatankuasa Kecemasan Gaza, Mohammad Abdul Khaliq al-Farra mengemukakan peletakan jawatan. HAMAS memaklumkan pentadbiran awam di Gaza akan diserahkan kepada NCAG yang dijangka mengambil alih pengurusan hal ehwal kerajaan sebaik sahaja proses peralihan selesai.
Ketua Pengarah Pejabat Media Kerajaan Gaza, Ismail Al-Thawabta berkata semua prosedur pentadbiran dan perundangan berkaitan penyerahan kuasa telah diselesaikan. Beliau turut memberi jaminan bahawa kementerian serta kakitangan kerajaan sedia ada akan terus menjalankan tugas seperti biasa sehingga pentadbiran baharu mengambil alih bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.
Sementara itu, jurucakap HAMAS, Hazem Qassem berkata keputusan itu membuktikan HAMAS tidak berhasrat menjadi penghalang kepada pembentukan pentadbiran baharu di Gaza. Menurut beliau, gerakan itu bersedia menyerahkan urusan pentadbiran kepada NCAG demi mempercepat usaha pembinaan semula serta meringankan penderitaan rakyat.
Menurut HAMAS, keputusan itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan pelan pascaperang yang dipersetujui dalam rundingan gencatan senjata. Pelan tersebut merangkumi pembentukan pentadbiran teknokrat, pembinaan semula Gaza serta pengunduran rejim Israel dari wilayah berkenaan.
Bagaimanapun, HAMAS menegaskan bahawa keputusan menyerahkan pentadbiran awam tidak bermaksud gerakan itu bersetuju melucutkan senjata. Menurutnya, isu senjata hanya akan dibincangkan selepas rejim Israel memenuhi komitmennya dalam perjanjian gencatan senjata dan menamatkan pendudukan.
Dalam perkembangan sama, rejim Israel menolak langkah tersebut dengan menyifatkannya sebagai "sandiwara", sambil mendakwa pembubaran pentadbiran tidak membawa sebarang perubahan selagi HAMAS masih memiliki kekuatan ketenteraan dan pengaruh terhadap aspek keselamatan di Gaza.
Sumber: Shehab News, The Palestine Chronicle