Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Hampir 700,000 penduduk telah dipaksa berpindah di seluruh Lubnan dalam tempoh lebih seminggu ketika konflik semakin memuncak, menurut Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).


Wakil UNHCR di Lubnan, Karolina Lindholm Billing berkata kepada wartawan di Geneva bahawa krisis itu telah memaksa keluarga-keluarga di Lubnan meninggalkan rumah mereka secara besar-besaran susulan serangan udara yang semakin intensif serta arahan pemindahan yang dikeluarkan pada 2 Mac kepada penduduk di lebih 53 buah kampung dan kawasan padat penduduk.


Menurut pihak berkuasa Lubnan, lebih 667,000 orang telah mendaftar di platform pemindahan dalam talian kerajaan, dengan peningkatan lebih 100,000 orang dalam satu hari dan angka tersebut terus meningkat.


Billing menyatakan bahawa kira-kira 120,000 orang yang dipindahkan kini berlindung di pusat perlindungan kolektif yang ditetapkan kerajaan, manakala ramai penduduk yang lain tinggal bersama saudara-mara atau mencari tempat tinggal selepas melarikan diri dari rumah dengan hanya membawa sedikit barang.


Konflik itu juga mencetuskan pergerakan merentas sempadan ke Syria. Pihak berkuasa Syria melaporkan bahawa lebih 78,000 warga Syria dan lebih 7,700 rakyat Lubnan telah memasuki Syria sejak peningkatan konflik bermula.


Billing berkata ramai keluarga mengalami pemindahan berulang selepas konflik sebelumnya pada tahun 2024, yang menyebabkan orang awam mengalami trauma dan hidup dalam ketakutan.


Menurutnya, UNHCR telah menyalurkan sekitar 168,000 barangan bantuan kecemasan kepada lebih 63,000 orang yang dipindahkan di lebih 270 pusat perlindungan, namun memberi amaran bahawa respons bantuan UNHCR di Lubnan kini hanya menerima 14% pembiayaan yang diperlukan.


“Setiap hari konflik ini berterusan, lebih banyak penderitaan menimpa ratusan ribu orang awam, sekali gus menjadikan Lubnan dan rantau ini semakin tidak stabil,” katanya.


“Orang awam mesti dilindungi pada setiap masa dan akses kemanusiaan yang selamat tanpa halangan mesti dijamin agar bantuan dapat sampai kepada mereka yang paling memerlukan,” tambahnya.


Sumber: Anadolu Ajansi, BERNAMA

Written by
Admin
Published on
March 11, 2026