Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menggesa Israel membatalkan serta-merta perbicaraan rasuah terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu atau memberinya pengampunan penuh. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di platform Truth Social, Trump menyifatkan perbicaraan itu sebagai penghinaan terhadap keadilan dan mendakwa bahawa kepimpinannya telah menyelamatkan Israel dan kini perlu menyelamatkan Netanyahu.
“Saya terkejut mendengar bahawa Israel masih meneruskan ‘pemburuan’ yang tidak masuk akal terhadap Perdana Menteri mereka semasa waktu perang,” tulis Trump. Beliau memuji kepimpinan Netanyahu yang dianggap sebagai salah satu detik paling gemilang dalam sejarah Israel, merujuk kepada serangan terkini Israel terhadap Iran.
Trump menyatakan bahawa beliau dan Netanyahu telah mengharungi kesusahan bersama dalam memerangi musuh lama Israel yang licik, Iran. Menurutnya, Netanyahu adalah seorang pejuang yang tiada tandingan dalam sejarah Israel yang berperanan besar dalam memusnahkan ancaman nuklear utama.
“Penghinaan terhadap ‘keadilan’ ini tidak boleh dibiarkan!” tegas Trump. “Perbicaraan Bibi Netanyahu perlu dibatalkan sekarang juga atau pengampunan harus diberikan kepada seorang wira besar yang telah banyak berjasa untuk negara Israel.”
Netanyahu berdepan tuduhan rasuah, penipuan, dan pecah amanah. Namun, sejak awal lagi menggambarkan dirinya sebagai mangsa konspirasi politik. Sejak perbicaraannya bermula pada 2020, beliau banyak menggunakan retorik ala-Trump, termasuk melabel penyiasatan sebagai Witch Hunt dan menuduh media serta badan kehakiman sebagai pihak yang menyasarkannya secara tidak adil.
Sumber: Quds News Network