.png)
Pusat Kajian Tahanan Palestin mengesahkan seramai 26 tahanan Palestin di penjara rejim Israel menghidap pelbagai jenis kanser. Menurut pusat itu, nyawa para tahanan terbabit berada dalam keadaan sangat terancam. Keadaan tersebut berpunca daripada kegagalan pihak penjara menyediakan rawatan perubatan yang sewajarnya. Sebaliknya, pihak berkuasa penjara didakwa hanya membekalkan ubat tahan sakit kepada para tahanan.
Pengarah pusat tersebut, Riyad al-Ashqar menjelaskan dalam satu laporan yang dikeluarkan sempena Hari Kanser Sedunia yang disambut pada 4 Februari setiap tahun, bahawa para tahanan yang menghidap kanser kini sedang berdepan kematian perlahan akibat keadaan kesihatan mereka yang kritikal, ketiadaan rawatan perubatan yang sewajarnya serta keadaan tahanan yang dinafikan hak keperluan asas hidup tanpa dibezakan layanan antara tahanan yang sakit dan yang sihat.
Al-Ashqar turut menyatakan bahawa tahanan kanser mengalami penderitaan berganda merangkumi kesakitan akibat penyakit berbahaya yang boleh meragut nyawa pada bila-bila masa serta dasar penindasan dan sekatan di dalam penjara, khususnya selepas 7 Oktober 2023. Hal ini berlaku apabila pihak pentadbiran penjara memperketat langkah-langkah keselamatan dan merampas hak-hak asas tahanan, termasuk hak mendapatkan rawatan perubatan, penjagaan kesihatan dan makanan yang mencukupi.
Beliau mendedahkan bahawa sakit kanser merupakan punca utama kematian tahanan Palestin di penjara sebelum 7 Oktober, akibat pengabaian perubatan yang disengajakan dan keengganan memindahkan mereka ke hospital awam. Namun selepas genosid ke atas Gaza, penyeksaan pula menjadi punca utama kematian tahanan.
Al-Ashqar menjelaskan bahawa tahanan terakhir yang meninggal dunia akibat kanser ialah Mahmoud Talal Abdullah (49 tahun) dari Jenin, yang dikesan menghidap kanser pada peringkat lanjut. Pihak penjajah enggan membebaskannya atau memberikan rawatan sehingga beliau dipindahkan ke Hospital Assaf Harofeh, di mana kematiannya diumumkan pada Oktober tahun lalu.
Beliau juga menyatakan bahawa antara pesakit kanser tersebut terdapat dua orang tahanan wanita, iaitu Fidaa Assaf (47 tahun) dari Qalqilya yang menghidap kanser darah dan telah ditahan selama setahun, serta Suhair Zaaqiq dari al-Khalil (Hebron) yang menghidap ketumbuhan dan masalah tisu bersifat kanser, di mana kedua-duanya tidak menerima rawatan yang sewajarnya.
Tambahnya lagi, sebahagian daripada pesakit kanser ini terdiri daripada tahanan veteran yang telah menghabiskan bertahun-tahun di penjara, antaranya Jamal Ibrahim Amro dari al-Khalil (Hebron), yang ditahan sejak 2004 dan disahkan menghidap kanser usus pada 2018 yang kemudiannya merebak ke hati dan buah pinggang akibat pengabaian perubatan. Beliau sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup dan berada dalam keadaan kesihatan yang sangat kritikal.
Begitu juga tahanan Fawaz Sab’ Ba‘arah dari Nablus, yang ditahan sejak 2004 dan dijatuhi hukuman tiga kali penjara seumur hidup, menghidap kanser serta masalah jantung yang serius dan memerlukan pembedahan jantung terbuka yang enggan dilakukan oleh pihak pendudukan.
Al-Ashqar menegaskan bahawa keadaan tahanan yang tidak berperikemanusiaan serta pelanggaran berterusan telah menyebabkan penularan wabak penyakit berbahaya dalam kalangan tahanan. Beliau memberi amaran bahawa kelewatan berterusan dalam rawatan mengancam nyawa mereka dalam masa terdekat.
Beliau turut menyeru semua organisasi antarabangsa, khususnya Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar segera campur tangan bagi menyelamatkan nyawa tahanan yang sakit, terutamanya penghidap kanser serta berusaha bersungguh-sungguh untuk membebaskan mereka sebelum terlambat.
Sumber: Shehab News