.png)
Hari ini menandakan 500 hari penahanan Dr. Hussam Abu Safiya oleh pihak berkuasa rejim Israel, satu kes yang terus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan organisasi hak asasi manusia dan badan kemanusiaan antarabangsa.
Erika Guevara Rosas, Pengarah Kanan Penyelidikan, Advokasi, Dasar dan Kempen Amnesty International menyifatkan penahanan tersebut sebagai satu bentuk penindasan sistematik terhadap rakyat Palestin. Dalam kenyataan di platform X, beliau turut menegaskan bahawa petugas kesihatan Palestin telah dihukum kerana tindakan menyelamatkan nyawa, sambil menggesa rejim Israel membebaskan Abu Safiya serta semua petugas perubatan yang ditahan tanpa pertuduhan atau perbicaraan.
Dr. Hussam Abu Safiya yang merupakan Pengarah Hospital Kamal Adwan di Gaza, dilaporkan ditahan selepas beliau menghampiri sebuah kereta kebal rejim Israel yang menyerbu hospital tersebut ketika ia masih berfungsi sebagai salah satu fasiliti kesihatan utama di utara Gaza pada ketika itu. Penahanannya berlaku dalam situasi serangan berterusan ke atas sektor kesihatan Gaza yang telah lama berdepan kekangan teruk akibat konflik.
Menurut laporan semasa daripada kumpulan hak asasi manusia, Dr. Abu Safiya masih ditahan tanpa pertuduhan rasmi atau perbicaraan yang jelas. Beberapa buah organisasi antarabangsa turut menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan kesihatannya serta akses terhad kepada peguam dan komunikasi dengan keluarga.
Penahanan beliau dilihat sebagai sebahagian daripada trend lebih luas melibatkan penahanan petugas kesihatan Palestin sejak konflik di Gaza bertambah buruk. Organisasi kemanusiaan menegaskan bahawa tindakan terhadap petugas perubatan ini memberi kesan serius kepada sektor kesihatan yang sudah pun berada di ambang keruntuhan.
Amnesty International sekali lagi menggesa agar Dr. Hussam Abu Safiya dan semua petugas kesihatan Palestin yang ditahan dibebaskan segera dan tanpa syarat serta menuntut perlindungan terhadap pekerja kesihatan di zon konflik mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Sumber: Al Jazeera, Amnesty International Australia