.png)
Jurucakap HAMAS, Hazim Qassim mengecam pembunuhan berterusan yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap kanak-kanak dan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di semenanjung Gaza, sambil menyifatkan sikap berdiam diri terhadap jenayah tersebut sebagai satu bentuk keterlibatan secara tidak langsung.
Dalam kenyataan media susulan serangan udara terbaharu rejim Zionis di selatan Gaza, Qassim berkata seorang kanak-kanak perempuan gugur syahid selepas pesawat tempur rejim Israel mengebom khemah yang menempatkan penduduk kehilangan tempat tinggal di Khan Yunis sehingga menyebabkan kebakaran.
Menurutnya, kanak-kanak itu hanyalah seorang lagi mangsa yang menambah senarai puluhan ribu kanak-kanak Palestin yang terbunuh akibat pengeboman, kebuluran, sekatan rawatan perubatan, ketakutan serta kehilangan ibu bapa sepanjang perang di Gaza.
Beliau turut mengkritik sikap masyarakat antarabangsa, negara-negara Arab dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang menurutnya terus membisu terhadap penderitaan rakyat Gaza.
“Dunia melihat dan mengetahui apa yang sedang berlaku, namun terus berdiam diri. Negara-negara Liga Arab, parti-parti politik, ahli parlimen, para ulama dan golongan intelektual juga tidak mengambil sebarang tindakan. Begitu juga PA di Ramallah yang hanya menyaksikan tragedi ini seolah-olah ia berlaku di tempat lain,” katanya.
Qassim menegaskan bahawa semua pihak yang memilih untuk berdiam diri terhadap jenayah tersebut akan dipersoalkan di hadapan Allah atas penderitaan kanak-kanak dan mangsa yang terkorban dalam perang yang disifatkannya sebagai perang genosid di Gaza.
Dalam perkembangan sama, seorang wanita Palestin, Diana Mohammed Salem Abu Draz, 23, bersama anak perempuannya yang berusia setahun, Sawar Thaer Abu Draz, dilaporkan syahid terkorban selepas serangan udara rejim Israel menyasarkan khemah penduduk kehilangan tempat tinggal di kawasan al-Mawasi, Khan Yunis, selatan semenanjung Gaza pada Isnin.
Sumber: Shehab News