Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Menurut laporan tempatan, tentera Israel melancarkan serangan di utara Tebing Barat pada Khamis, menggunakan helikopter bagi menyasarkan bandar Tubas dan Jenin.


Sumber tempatan turut melaporkan kepada agensi berita Anadolu bahawa tentera rejim Israel mengepung sebuah rumah di kejiranan Abu Dhahir, Jenin, sebelum menyerbu bangunan tersebut dan menahan sekurang-kurangnya seorang individu.


Saksi turut melaporkan bahawa sejumlah besar Unit Infantri Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan pasukan khas rejim itu dikerahkan di kawasan berkenaan, manakala sebuah helikopter tentera berlegar di udara memberikan sokongan kepada operasi darat.


Helikopter tersebut dilaporkan melepaskan tembakan ke arah beberapa lokasi semasa penerbangan di ruang udara Jenin.


Di Tubas, helikopter rejim Israel terbang rendah di kawasan Tammoun, sambil melepaskan tembakan ke kawasan terbuka dan melancarkan operasi serbuan rumah secara besar-besaran.


Menurut Pasukan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS), dua kanak-kanak cedera di paha akibat tembakan tentera rejim Israel di kem Jenin, manakala seorang lagi penduduk cedera akibat tembakan di kawasan Idhna, berhampiran al-Khalil (Hebron).


Sejak operasi di Tubas bermula pada Rabu, tentera rejim Israel telah menahan sekurang-kurangnya 119 rakyat Palestin, dengan lebih 50 daripadanya dibebaskan kemudian. Menurut Persatuan Tahanan Palestin (PPS) dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), sekurang-kurangnya 25 orang cedera dalam serangan tersebut.


Serangan tentera dan peneroka haram Israel di Tebing Barat semakin meningkat seiring dengan perang dua tahun di Gaza yang telah meragut hampir 70,000 nyawa. Di Tebing Barat sahaja, sekurang-kurangnya 1,083 rakyat Palestin terbunuh, kira-kira 11,000 cedera dan lebih 20,500 ditahan, menurut angka rasmi Palestin.


Dalam keputusan penting pada Julai lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengisytiharkan bahawa penjajahan Israel di wilayah Palestin adalah tidak sah dan menggesa agar semua penempatan haram di Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur dikosongkan.

Sumber: Anadolu Ajansi

Written by
Admin
Published on
November 28, 2025