Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Jurulatih kebangsaan Mesir, Hossam Hassan sekali lagi menegaskan solidaritinya terhadap Palestin selepas mendedikasikan kemenangan pasukannya menentang Australia itu kepada rakyat Palestin dan mengibarkan bendera Palestin di Piala Dunia 2026 menerima perhatian meluas di seluruh dunia.

Bercakap pada sidang media menjelang aksi pusingan 16 terbaik menentang Argentina, Hossam berkata tindakannya itu bukan bermotifkan politik, sebaliknya lahir daripada nilai kemanusiaan dan rasa simpati terhadap penderitaan rakyat Palestin di Gaza.

Beliau turut menegaskan bahawa sesiapa yang tidak merasai penderitaan rakyat Palestin telah kehilangan sebahagian daripada sifat kemanusiaannya, sambil menyifatkan penderitaan wanita dan kanak-kanak di Gaza sebagai sesuatu yang tidak boleh diabaikan oleh masyarakat dunia.

Beliau turut berkata: “ Jika mana-mana haiwan dicederakan di Eropah atau Amerika, kita melihat tindakan daripada organisasi hak asasi manusia dan haiwan, tetapi apabila beribu-ribu orang termasuk kanak-kanak dan wanita dibunuh setiap hari di Gaza, tiada apa yang berlaku. Seluruh penduduk tinggal di dalam khemah pada musim panas dan musim sejuk."

Penderitaan rakyat Palestin meninggalkan kesan yang mendalam terhadap Hossam. Beliau kemudian berkata bahawa sokongannya terhadap rakyat Palestin berakar umbi dalam pertimbangan kemanusiaan, tanpa mengira agama atau identiti. Beliau turut mengecam tindakan dunia dan mereka yang berkuasa meninggalkan serta mengabaikan rakyat Palestin.

Hossam turut menyeru pemain bola sepak, atlet, wartawan dan masyarakat antarabangsa supaya menggunakan platform masing-masing untuk menyuarakan penderitaan rakyat Palestin serta mendesak agar serangan terhadap orang awam dihentikan. Menurut beliau, sukan bukan sekadar medan pertandingan, malah mampu menjadi saluran menyampaikan mesej kemanusiaan.

Sementara itu, tindakan Hossam mengangkat bendera Palestin selepas kemenangan Mesir ke atas Australia terus menerima pujian meluas di media sosial. Ramai pengguna menyifatkan beliau sebagai "pemenang sebenar", manakala ada yang memuji keberaniannya mempertahankan pendirian meskipun berdepan kritikan daripada pelbagai pihak.

Sebahagian pengguna turut menyifatkan sokongan terbuka Hossam terhadap Palestin sebagai satu pendirian bermaruah yang mencerminkan solidariti rakyat Mesir dan dunia Arab terhadap penduduk Gaza, selain menganggap beliau telah menggunakan pentas Piala Dunia untuk menyampaikan mesej kemanusiaan kepada masyarakat antarabangsa.


Sumber: Al Jazeera, Shehab News

Written by
Admin
Published on
July 8, 2026