
Kumpulan Ansarullah (Houthi) mengumumkan bahawa mereka telah melancarkan serangan menggunakan peluru berpandu dan dron ke atas dua kapal tangki minyak milik Arab Saudi, ketika United Kingdom Maritime Trade Operations (UKMTO) turut memaklumkan bahawa mereka menerima laporan mengenai satu insiden maritim kira-kira 70 batu nautika dari pesisir al-Shaqiq, Arab Saudi.
Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree berkata operasi itu menyasarkan dua kapal tangki minyak, ENCELIA dan LAYLA kerana melanggar larangan pelayaran yang dikuatkuasakan oleh kumpulan itu. Beliau menambah bahawa pasukan Houthi telah memaksa hampir 10 buah kapal dagang berpatah balik dan menegaskan operasi maritim terhadap Arab Saudi akan diteruskan di bawah dasar yang disifatkannya sebagai sekatan dibalas dengan sekatan.
Awal minggu ini, Houthi mengumumkan larangan pelayaran ke atas Arab Saudi dengan mengatakan kerajaan itu mengenakan sekatan ke atas wilayah yang berada di bawah kawalan mereka. Mereka turut memberi amaran bahawa sebarang peningkatan tindakan ketenteraan oleh Riyadh akan dibalas dengan tindakan yang lebih besar dan tegas. Dalam emel yang dihantar kepada syarikat-syarikat perkapalan antarabangsa, Houthi mengarahkan supaya tiada urusan memuat atau memunggah barangan dilakukan di pelabuhan Arab Saudi, sambil memberi amaran bahawa kapal yang melanggar arahan tersebut boleh menjadi sasaran serangan di mana-mana lokasi.
Sebagai tindak balas, Arab Saudi mengecam pengumuman itu dan menolak dakwaan bahawa berlakunya pengepungan terhadap rakyat Yaman. Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Arab Saudi mengutuk ancaman Houthi terhadap kebebasan pelayaran serta menggesa masyarakat antarabangsa melaksanakan resolusi berkaitan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk Resolusi 2216 berhubung Yaman dan Resolusi 2722 yang menegaskan kebebasan pelayaran di Laut Merah. Riyadh turut menegaskan bahawa sebarang tindakan bagi melindungi kapal-kapalnya akan dilaksanakan selaras dengan undang-undang antarabangsa serta Konvensyen Undang-undang Laut PBB 1982.
Sementara itu, Menteri Penerangan Yaman, Muammar al-Eryani mendakwa keputusan Houthi mengenakan sekatan maritim bukanlah tindakan yang dibuat secara bebas, sebaliknya sebahagian daripada strategi Iran untuk meningkatkan ketegangan di rantau itu. Pada masa sama, Pengerusi Majlis Kepimpinan Presiden Yaman, Rashad al-Alimi berikrar untuk menghalang Houthi daripada mengheret negara itu ke arah konflik yang lebih besar. Beliau menegaskan kerajaan Yaman tidak akan membenarkan Houthi menentukan soal perang dan keamanan serta akan terus bertindak bagi melindungi kedaulatan negara dan keselamatan orang awam.
Di peringkat antarabangsa, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran bahawa Washington akan ‘menguruskan’ Houthi sekiranya kumpulan itu melaksanakan ancaman untuk menyekat pelabuhan Arab Saudi. Ketika menerima kunjungan Presiden Lubnan, Joseph Aoun di Rumah Putih, Trump berkata AS pernah mengambil tindakan terhadap Houthi sebelum ini, merujuk kepada siri serangan tentera AS yang dilancarkan sebelum perjanjian yang diusahakan Oman termeterai dengan kumpulan itu pada Mei 2025.
Sumber: al-Jazeera