Duta Besar Amerika Syarikat di Israel, Mike Huckabee, mencadangkan agar negara-negara Islam menyerahkan sebahagian daripada tanah mereka untuk mewujudkan sebuah negara Palestin pada masa hadapan.
Dalam satu temu bual bersama BBC, Huckabee berkata: "Negara-negara Islam mempunyai 644 kali ganda keluasan tanah berbanding tanah yang dikuasai oleh Israel."
"Jadi mungkin, jika benar ada keinginan untuk sebuah negara Palestin, akan ada yang berkata, kami ingin menjadi tuan rumahnya," katanya.
Duta itu juga menyifatkan penyelesaian dua negara — satu formula yang dicadangkan bagi keamanan antara Israel dan Palestin dan umumnya mendapat sokongan antarabangsa termasuk daripada beberapa pentadbiran AS — sebagai satu matlamat aspirasi.
Penyelesaian dua negara membayangkan sebuah negara Palestin merdeka di Tebing Barat yang diduduki dan Gaza, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya. Ia akan wujud di samping negara Israel.
Dalam temu bual berasingan bersama Bloomberg, Huckabee berkata AS tidak lagi mengejar matlamat untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka.
Jurucakap Jabatan Negara, Tammy Bruce, kemudiannya berkata bahawa duta berkenaan "bercakap atas kapasiti peribadi" dan presiden adalah pihak yang bertanggungjawab terhadap dasar AS di Timur Tengah.
Akhir bulan ini dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, diplomat dari Perancis dan Arab Saudi akan menganjurkan sebuah persidangan bagi membentangkan pelan ke arah penubuhan negara Palestin.
Walaupun Huckabee tidak menyatakan secara khusus di mana negara Palestin itu boleh diwujudkan atau sama ada AS akan menyokong usaha tersebut, beliau menyifatkan persidangan itu sebagai "tidak sesuai pada masanya dan tidak wajar".
"Ia juga sesuatu yang sangat tidak masuk akal untuk negara-negara Eropah memaksa untuk dilaksanakan di tengah-tengah perang" katanya, sambil berhujah bahawa ia akan menyebabkan Israel menjadi kurang selamat.
Sumber: BBC News