Beberapa media tempatan Iran melaporkan bahawa beberapa individu telah ditahan atas dakwaan menjadi perisik bagi agensi perisikan Israel, Mossad serta merancang serangan bersenjata dari dalam negara.
Menurut Agensi Berita Tasnim, seorang warga asing telah ditahan di bandar pelabuhan selatan Bushehr ketika merakam gambar kawasan nuklear dan didakwa berkhidmat untuk Mossad.
Agensi berita itu turut melaporkan bahawa satu pasukan pengganas yang didakwa mempunyai kaitan dengan Mossad telah ditemui semasa pemeriksaan kenderaan di daerah Baharestan, di pinggir Tehran. Pihak berkuasa menjumpai dron mikro, bahan letupan, alat komunikasi dan sistem penyasaran di dalam kenderaan berkenaan.
Morad Moradi, pemangku gabenor wilayah itu melaporkan bahawa suspek berniat menggunakan peralatan tersebut untuk melancarkan operasi bunuh diri secara besar-besaran di kawasan yang padat dengan penduduk. Ia bertujuan mewujudkan suasana panik dan menggugat keselamatan dalam negeri.
Sementara itu laman berita Iran, Eghtesadonline melaporkan bahawa empat individu yang disyaki menjadi ‘tentera upahan’ kepada Mossad telah ditahan di Bandar Isfahan. Penahanan itu dibuat susulan penemuan bahan yang digunakan untuk membina dron dan pesawat mikro di sebuah bengkel berhampiran kemudahan nuklear Isfahan.
Sumber: Al Jazeera