Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Antara Intipati Ucapan Pimpinan HAMAS, Usamah Hamdan | 4 November 2024:


Pertama:
Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dan mereka yang bersama menyokong kekejaman ini. Kami menegaskan bahawa jenayah ini tidak akan lenyap. Para pelaku serta mereka yang menyokong dan terus membiarkannya tidak akan terlepas daripada tanggungjawab dan pengadilan yang adil, walau berapa lama pun masa berlalu.

Kedua: Serangan penjajah terhadap hospital di Semenanjung Gaza khususnya di  wilayah utara merupakan jenayah genosid terhadap rakyat kami dan satu pelanggaran terang-terangan ke atas semua undang-undang dan perjanjian antarabangsa serta undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Masyarakat antarabangsa harus memikul tanggungjawab mereka dalam memaksa penjajah untuk menghentikan serangan terhadap hospital, pusat kesihatan, dan pertahanan awam demi menyelamatkan nyawa orang awam. Kami menegaskan bahawa alasan-alasan lemah yang digunakan oleh penjajah terhadap hospital-hospital di Semenanjung Gaza seperti pengeboman, pencerobohan, atau pembakaran, dengan dakwaan adanya pejuang dalam hospital tersebut terbukti sebagai pembohongan dan penipuan. Dakwaan ini telah didedahkan oleh beberapa laporan antarabangsa dan siasatan media, termasuk yang terbaru oleh agensi Associated Press.

Ketiga: Pengumuman rasmi penjajah kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menghentikan hubungan dengan UNRWA selepas mereka meluluskan undang-undang tidak sah melarang operasi agensi tersebut di wilayah Palestin adalah usaha Zionis untuk menghapuskan saksi antarabangsa dan global terhadap isu pelarian Palestin. Oleh itu, PBB dan masyarakat antarabangsa perlu mengambil tindakan tegas dan konkrit untuk menyingkirkan Israel daripada semua institusi PBB demi menjaga kestabilan kawasan, keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Keempat: Serangan berterusan warganegara haram Israel ke atas perkampungan dan kawasan bandar di Tebing Barat terutamanya di kawasan Bandar al-Bireh merupakan serangan yang berbahaya. Kami menyeru rakyat kami untuk menentang musuh dengan sehabis baik.

Kelima: Kami ingin menegaskan bahawa semua usaha untuk menghapuskan isu Palestin, perpindahan dan genosid ke atas rakyat kami tidak akan berjaya. Puak pelampau, Zionis, Amerika Syarikat dan negara Barat tidak mampu mematahkan semangat rakyat, mujahidin kami dalam menuju pembebasan.

Keenam: Zionis menerima serangan yang menyakitkan daripada mujahidin di Semenanjung Gaza sepanjang bulan Oktober yang lalu. Mereka mengalami kerugian yang besar, termasuk kehilangan anggota tentera, pegawai, dan kerosakan pada kenderaan ketenteraan. Kepimpinan perang Zionis kini menghadapi konflik dalaman dan perpecahan, ketakutan terhadap angka dan kos kerugian besar yang dialami oleh tentera mereka. Netanyahu masih jauh dari mencapai sebarang matlamat di Gaza, melainkan genosid terhadap orang awam yang semakin meningkat.

Ketujuh: Hari demi hari, kepalsuan dari pejabat Netanyahu semakin tersingkap. Berlaku kebocoran maklumat tertentu yang sebahagiannya telah dimanipulasi untuk digunakan sebagai alasan membenarkan pelaksanaan genosid terhadap rakyat kami. Bukti yang terbongkar mengesahkan serangan tersebut sengaja dilancarkan dan berkait dengan dasar kerajaan Netanyahu untuk pembersihan etnik. Kami menyeru Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk menyiasat kes ini dan mendakwa Netanyahu serta pasukan pemerintahannya sebagai penjenayah perang.

Kelapan: Terdapat pertemuan yang diadakan bersama pelbagai faksi Palestin termasuk gerakan Fatah. Antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut adalah perang di Gaza dan cara untuk bertindak bersama dalam menentang penjajah dan sekutunya.

Kesembilan: HAMAS menegaskan pendirian untuk bertindak secara positif terhadap sebarang cadangan dan idea yang menjamin serangan dapat dihentikan, pengunduran penjajah dari Gaza, penduduk dapat kembali semula ke kediaman mereka, bantuan kepada rakyat, penghapusan sekatan, pemulihan semula dan pelaksanaan perjanjian pertukaran tawanan yang sebenar. Perjanjian yang dibuat pada 2 Julai 2024 dan pelaksanaan Resolusi Majlis Keselamatan 2735 merupakan kunci untuk menamatkan perang.

Kesepuluh: Kami menegaskan bahawa apa sahaja keputusan pilihan raya presiden AS, ia tidak akan memberi kesan kepada HAMAS dan rakyat Palestin. Pentadbiran AS yang lepas dan sedia ada, kedua-duanya menjadi sekutu Zionis dalam perang dan serangannya terhadap kami. Pentadbiran AS yang baru perlu mendengar suara daripada rakyatnya yang menentang penjajahan dan serangan Zionis dan menilai semula dasar yang berpihak dan menyokong penjajah.

Written by
Admin
Published on
November 6, 2024