Latest News

Stay updated with the latest developments and news

Intipati Ucapan Pimpinan HAMAS, Usamah Hamdan:

Pertama: Pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan ini tidak menjangkau akal fikiran seorang manusia. Pembunuhan, perpindahan, kebuluran, penangkapan dan penderaan dilakukan dengan sokongan penuh pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Barat yang lain melalui politik, diplomatik dan ketenteraan. Hal ini disebabkan kelemahan dan kegagalan besar masyarakat antarabangsa dalam menekan penjajah untuk menghentikan serangan dan mengekang penjajahan ini daripada semua nilai kemanusiaan.

Kedua: Kebuluran digunakan sebagai senjata secara meluas oleh Zionis terhadap rakyat kami di Semenanjung Gaza lebih dari satu tahun. Ia merupakan salah satu alat kekejaman dalam melaksanakan Israel's Generals' Plan dan ia hanya digunakan oleh penjenayah perang yang tidak berperikemanusiaan.  Situasi ini memperlihatkan kepada dunia realiti sebenar Zionis.

Ketiga: Kerajaan haram Zionis meneruskan pengabaian semua norma dan konvensyen kemanusiaan serta undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Mereka gagal mematuhi resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Mereka mengendahkan seruan dan laporan organisasi kesihatan, perubatan dan hak asasi kemanusiaan yang dipercayai serta berulang kali mengeluarkan statistik harian. Ini merupakan ujian buat komuniti antarabangsa sama ada mereka komited terhadap tujuan asal penubuhan mereka.Semua kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat kami lebih dari satu tahun akan kekal sebagai satu penghinaan yang menghantui semua penyokong yang berdiam diri. Namun ia tidak berlaku kepada mereka yang mengambil tindakan terhadap jenayah kejam, pembunuhan beramai-ramai dan kebuluran terhadap rakyat kami, begitu juga mereka yang bertindak segera meletakkan penjajah sebagai penjenayah yang menentang kemanusiaan.

Keempat: Kami katakan kepada Netanyahu: Tiada jenayah yang lebih besar berlaku berbanding apa yang dilakukan oleh kerajaannya. Bahkan mereka yang mengaku sebagai penyokong sukan turut mencemari hak dan harta benda orang ramai di mana-mana sahaja. Insiden di Amsterdam adalah contoh yang jelas — ketika orang awam bertindak balas secara spontan untuk mempertahankan diri dan harta benda mereka, para pelaku ini tiba-tiba berlakon seolah-olah mereka adalah mangsa, padahal merekalah penjenayah sebenar. Insiden di Amsterdam mengesahkan selagi genosid dan penghapusan etnik di Gaza masih berterusan dan secara terbuka dipaparkan kepada dunia tanpa sebarang campur tangan antarabangsa untuk menghentikan pembunuhan dan menghukum pelakunya, maka kejadian-kejadian spontan seperti ini dijangka akan terus berlaku.

Kelima: Kami menyeru kepada pimpinan negara Arab dan Islam di Riyadh dalam Joint Arab-Islamic Summit untuk melakukan perkara di bawah:

1. Mengambil keputusan yang serius dan berani untuk menekan penjajah dan sekutunya bagi menghentikan serangan yang berterusan ke atas Gaza dan Lubnan, termasuk memansuhkan sekatan di Gaza dan pengunduran sepenuhnya penjajah dari tanah kami.

2. Membangunkan rancangan dan prosedur yang diperlukan untuk memberi bantuan kepada rakyat kami di Semenanjung Gaza dan menyediakan bekalan perlindungan terutamanya apabila menghampiri musim sejuk.

3. Membentuk pakatan Arab, Islam dan antarabangsa bagi memperkasa rakyat kami dengan semua hak mereka. Antara hak paling utama ialah kebebasan, kemerdekaan dan penentuan nasib sendiri, serta penubuhan negara yang merdeka, berdaulat sepenuhnya dan Baitul Maqdis sebagai ibu kota.

4. Kami memperbaharui tuntutan kami untuk mengusir duta besar Zionis dari negara-negara Arab dan Islam yang menjalin hubungan dengan musuh, serta memboikot entiti Zionis, membatalkan semua perjanjian yang telah ditandatangani bersama mereka, serta meneruskan usaha untuk mengasingkan, mengejar, dan mengadili mereka secara undang-undang di mahkamah antarabangsa.

Keenam: Kami menghargai pendirian 50 buah negara di bawah pimpinan Turkiye yang meminta Majlis Keselamatan Antarabangsa dan Perhimpunan Agung PBB (UNGA) mengambil langkah segera bagi menghentikan penjualan atau pemindahan senjata kepada entiti Zionis. Kami juga menghargai pendirian mulia Sepanyol yang menghalang penghantaran kapal-kapal membawa senjata dan peralatan ketenteraan kepada penjajah. Di sini, kami menegaskan bahawa sokongan berterusan pentadbiran AS terhadap penjajahan bersama senjata akan membebankan mereka dengan tanggungjawab undang-undang; politik; etika dan kemanusiaan atas jenayah; pembunuhan beramai-ramai; dan perang yang dilakukan oleh tentera Zionis terhadap orang awam selama lebih setahun.

Ketujuh: Kami menyampaikan salam kami kepada semua rakyat negara Arab dan Islam, semua orang yang merdeka di dunia, yang bersolidariti dan menyokong hak rakyat Palestin kami. Seterusnya, kepada semua masyarakat Arab dan Islam yang berada di semua benua dunia yang meneruskan gerakan politik dan media bersolidariti bersama rakyat Palestin.

Kelapan: Kami memuji pejuang Islam di Lubnan yang berani dan sanggup berkorban menentang Zionis. Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada saudara kami di Yaman, Iraq dalam mempertahankan bumi Palestin dan Lubnan serta penduduknya.

Kesembilan: Kami menyeru peningkatan dalam semua bentuk perpaduan; sokongan dan ekspresi penolakan terhadap pencerobohan; dan genosid melalui perarakan solidariti serta acara besar-besaran di semua bandar dan ibu kota bagi mengepung kedutaan Zionis serta negara sekutunya sehingga pencerobohan Zionis di Palestin dan Lubnan dihentikan.

Written by
Admin
Published on
November 11, 2024