Iran telah memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Perancis bahawa pangkalan tentera dan kapal perang mereka akan menjadi sasaran jika mereka membantu menyekat serangan balas Iran terhadap Israel yang melibatkan peluru berpandu dan dron.
Donald Trump menyatakan bahawa AS akan membantu mempertahankan Israel dan laporan media turut memetik pegawai Amerika yang berkata bahawa tentera AS telah pun membantu menembak jatuh peluru berpandu dan dron Iran yang menuju ke arah Israel.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron turut menyatakan pada Jumaat bahawa negaranya akan membantu mempertahankan Israel daripada serangan balas Iran.
Kerajaan UK pula menyatakan bahawa tenteranya tidak memberikan sebarang bantuan ketenteraan kepada Israel, manakala Perdana Menteri Keir Starmer menegaskan keperluan untuk meredakan ketegangan.
Iran kini cuba menghalang sokongan Barat terhadap pertahanan Israel, terutama apabila kebanyakan peluru berpandu dan dron yang dilancarkan ke arah Israel telah berjaya dipintas sebelum sampai ke sasaran.
Namun, jika Iran benar-benar melaksanakan ancaman yang disampaikan melalui media rasmi pada hari Sabtu tindakan itu akan menjadi satu pertaruhan besar dan berisiko menarik tentera Barat secara langsung ke dalam konflik sedangkan Iran sendiri sedang berdepan serangan udara berterusan dari Israel.
Bercakap dalam sesi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada hari Jumaat, diplomat AS, McCoy Pitt menegaskan bahawa tiada mana-mana proksi kerajaan atau pihak bebas patut menyasarkan rakyat Amerika, pangkalan tentera Amerika atau infrastruktur AS di rantau ini.
Sumber: The Guardian