
Iran menegaskan bahawa Selat Hormuz akan terus ditutup sehingga Amerika Syarikat (AS) memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Tehran untuk membuka semula laluan perairan strategik itu.
Menurut agensi berita separa rasmi Mehr, jurucakap tentera Iran, Mohammad Akrami-Nia berkata kawalan ke atas Selat Hormuz perlu berada di bawah kuasa Iran sebelum laluan tersebut dibuka semula.
Beliau berkata Washington perlu mematuhi syarat-syarat yang terkandung dalam perjanjian rangka damai yang dimeterai bulan lalu, menghentikan apa yang disifatkannya sebagai tindakan bermusuhan serta menerima peraturan Iran berkaitan pengurusan Selat Hormuz.
Akrami-Nia turut menegaskan bahawa tindakan ketenteraan berterusan oleh AS tidak akan memaksa Iran membuka semula laluan tersebut.Kenyataan itu dibuat selepas beberapa letupan baharu dilaporkan berlaku di beberapa bandar di Iran, ketika Komando Pusat AS (CENTCOM) mengumumkan serangan tambahan terhadap negara itu.
Menurut CENTCOM, serangan tersebut menyasarkan keupayaan ketenteraan Iran yang didakwa berkait rapat dengan ancaman terhadap kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz, salah satu laluan perdagangan paling penting di dunia.
Serangan itu berlaku ketika ketegangan antara AS dan Iran terus memuncak susulan pertikaian berhubung Selat Hormuz. Tentera AS dilaporkan melancarkan serangan ke atas Iran, manakala Tehran bertindak balas dengan menyerang beberapa pangkalan tentera AS di rantau itu, meskipun kedua-dua pihak sebelum ini mencapai perjanjian rangka damai yang diusahakan oleh Pakistan sebagai langkah ke arah penyelesaian jangka panjang.
Sumber: Anadolu Agency