
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan bahawa Tehran akan terus menyokong perjuangan Palestin dan berusaha menamatkan perang serta pendudukan Israel di Lubnan, meskipun negara itu memasuki fasa diplomatik baharu selepas gencatan senjata dengan Israel.
Kenyataan itu disampaikan ketika beliau mengadakan pertemuan dengan delegasi Hizbullah dan HAMAS di luar acara rasmi upacara pengebumian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei di Tehran.
Ketika bertemu delegasi Hizbullah, Araghchi menyifatkan gerakan penentangan itu sebagai sumber kebanggaan bagi Lubnan dan dunia Islam.
Beliau berkata, usaha Iran untuk menamatkan perang di Lubnan dan pendudukan Israel diteruskan selaras dengan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai bersama Amerika Syarikat (AS). Namun, beliau menegaskan hubungan diplomatik dengan Washington tidak akan mengubah pendirian Iran terhadap Palestin dan sekutu-sekutu serantaunya.
Dalam pertemuan berasingan bersama delegasi HAMAS, Araghchi sekali lagi menegaskan bahawa Iran akan terus menyokong perjuangan rakyat Palestin di tengah-tengah perang genosid yang masih berterusan di Gaza.
Beliau berkata, meskipun MoU dengan AS bertujuan mengurangkan risiko konflik baharu, namun ia tidak akan menjejaskan sokongan Tehran terhadap perjuangan Palestin mahupun hubungan strategiknya di rantau Asia Barat.Sementara itu, hari kedua upacara pengebumian Khamenei menyaksikan jutaan rakyat berhimpun di Tehran bersama pemimpin politik, tokoh agama dan delegasi rasmi dari lebih 100 negara.
Selain menjadi penghormatan terakhir kepada Ayatollah Ali Khamenei, upacara berkenaan turut menjadi platform Tehran menegaskan kesinambungan dasar luar negara, termasuk komitmennya untuk terus menyokong Palestin dan sekutu-sekutunya walaupun sedang melalui fasa baharu hubungan diplomatik dengan AS.
Sumber: The Palestine Chronicle