Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Menteri Luar Iran berkata bahawa angkatan tentera negara tersebut bersedia untuk bertindak balas serta-merta terhadap sebarang kemungkinan serangan yang akan dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS). Kenyataan ini dibuat beberapa jam selepas Presiden AS, Donald Trump mengulangi ancaman untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap Iran.


“Angkatan tentera kami yang berani telah berada dalam keadaan siap siaga, dengan jari sudah di picu senapang untuk memberi tindak balas serta-merta dan penuh tegas terhadap sebarang pencerobohan ke atas bahagian darat, udara dan perairan negara tercinta kami,” tulis Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi di media sosial pada Rabu malam.


Araghchi berkata Iran telah mengambil iktibar daripada siri serangan ketenteraan rejim Israel yang berlarutan selama beberapa hari pada Jun tahun lalu, termasuk serangan oleh pentadbiran Trump terhadap kemudahan nuklear Iran.


“Iktibar yang dipelajari daripada Perang 12 Hari telah membolehkan kami bertindak balas dengan lebih kuat, pantas dan berimpak besar,” kata Araghchi.


Kenyataan Araghchi dibuat hanya beberapa jam selepas Trump menyatakan semula ancaman untuk melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran, yang kini berdepan tekanan daripada Washington susulan tindakan keras kerajaan Iran terhadap protes anti-kerajaan baru-baru ini.


“Satu armada besar sedang menuju ke arah Iran,” kata Trump dalam satu hantaran panjang di platform Truth Social miliknya, sambil menambah bahawa armada tersebut sudah bersedia, sanggup dan mampu melaksanakan misinya dengan pantas, termasuk menggunakan kekerasan jika perlu.


Presiden AS itu turut berkata “Saya mengharapkan Iran akan segera datang ke meja rundingan untuk berunding demi mencapai perjanjian yang adil dan saksama — TIADA SENJATA NUKLEAR — satu perjanjian yang baik untuk semua pihak. Masa semakin suntuk, saat ini benar-benar genting! Seperti yang saya pernah katakan kepada Iran sebelum ini, BUAT PERJANJIAN!”


Trump merujuk kepada isu senjata nuklear walaupun sebelum ini berulang kali mendakwa bahawa serangan AS tahun lalu telah memusnahkan sepenuhnya program nuklear Iran.


Dalam rujukan yang jelas kepada serangan pengeboman AS ke atas tiga kemudahan nuklear Iran pada Jun lalu, Trump turut memberi amaran bahawa sekiranya Tehran gagal mencapai persetujuan, serangan seterusnya akan menjadi jauh lebih buruk.


Sementara itu, badan kehakiman Iran memaklumkan pada Rabu lalu bahawa pihak berkuasa telah melaksanakan hukuman mati terhadap seorang lelaki yang ditahan tahun lalu atas tuduhan mengintip untuk agensi perisikan Israel, Mossad. Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan hak asasi manusia menyuarakan kebimbangan bahawa sebahagian penunjuk perasaan turut berdepan risiko hukuman mati.


Sumber: Al Jazeera, Daily Sabah

Written by
Admin
Published on
January 29, 2026