
Presiden negara haram Israel, Isaac Herzog pada Khamis membalas kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengkritiknya kerana belum memberikan pengampunan kepada Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu. Isaac menegaskan bahawa negara haram Israel ialah sebuah negara berdaulat yang ditadbir berasaskan kedaulatan undang-undang.
Kenyataan daripada pejabat Herzog tersebut dikeluarkan selepas Trump menyatakan bahawa dia sepatutnya berasa malu kerana tidak memberikan pengampunan kepada Netanyahu.
“Sebagai penjelasan, seperti yang telah diterangkan berulang kali, permohonan Netanyahu ketika ini sedang diteliti di peringkat Kementerian Kehakiman bagi mendapatkan pandangan perundangan selaras dengan prosedur yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
“Selepas proses berkenaan selesai, Isaac Herzog akan mempertimbangkan permohonan tersebut mengikut peruntukan undang-undang, kepentingan terbaik negara haram Israel serta berpandukan hati nuraninya, tanpa sebarang pengaruh daripada tekanan luar mahupun dalaman,” tambahnya.Sehari selepas bertemu Netanyahu, Trump berkata kepada wartawan di Pejabat Oval:
“Anda mempunyai seorang presiden yang enggan memberikan Perdana Menterinya pengampunan. Dia patut berasa malu. Presiden mempunyai kuasa untuk memberikan pengampunan. Dia tidak mahu melakukannya kerana saya rasa dia akan kehilangan kuasanya. Saya fikir warga haram Israel patut benar-benar memalukannya. Dia memalukan kerana tidak memberikannya pengampunan.”
Trump juga dilaporkan menghantar surat kepada Herzog pada November 2025, menggesanya supaya memberikan pengampunan kepada Netanyahu yang sedang dibicarakan atas kes rasuah.Walaupun sebelum ini Netanyahu menyatakan tidak akan memohon pengampunan, namun dia secara rasmi mengemukakan permohonan pengampunan pada 30 November tahun lalu — bertujuan mendapatkan pelepasan daripada pertuduhan rasuah tanpa mengaku bersalah atau menarik diri daripada kehidupan politik.
Selain prosiding domestik, Netanyahu turut berdepan tekanan undang-undang di peringkat antarabangsa. Pada November 2024, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadapnya atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan di Gaza, di mana lebih 71,000 orang terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Selain lebih 171,000 lagi cedera dalam serangan berterusan oleh Israel sejak Oktober 2023.
Sumber: Anadolu Ajansi