Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz memberi amaran bahawa tentera Israel akan terus mengebom Lubnan jika Hizbullah tidak melucutkan senjata. Beliau menegaskan bahawa tidak akan ada ketenangan di Beirut dan tiada keamanan atau kestabilan di Lubnan melainkan keselamatan Israel terjamin.
“Perjanjian mesti dihormati. Jika kamu tidak melakukan apa yang diperlukan, kami akan terus bertindak dan dengan kekuatan besar,” ucap Katz dalam pada hari Jumaat.
Tentera Israel telah melancarkan siri serangan udara menyasarkan kawasan selatan Beirut pada malam Khamis. Insiden itu menyebabkan ramai penduduk menyelamatkan diri dan meninggalkan rumah mereka beberapa jam sebelum sambutan Aidiladha, selepas diberi arahan pemindahan paksa satu jam sebelumnya.
Tanpa sebarang bukti, Israel mendakwa serangan itu menyasarkan kilang dron Hizbullah di ibu kota Lubnan. Tentera Israel menyatakan bahawa Hizbullah sedang meningkatkan pengeluaran UAV [dron] untuk perang akan datang dengan pencabulan jelas terhadap gencatan senjata pada November.
Agensi Berita Kebangsaan Lubnan melaporkan bahawa jet pejuang Israel melancarkan kira-kira sedozen serangan dalam insiden tersebut. Menurut Hizbullah, 9 buah bangunan musnah manakala puluhan yang lain mengalami kerosakan.
Sementara itu, Hizbullah telah menafikan bahawa terdapat kemudahan pengeluaran dron di lokasi yang diserang.
Serangan ini merupakan yang keempat dan paling dahsyat terhadap kawasan selatan Beirut, kubu kuat Hizbullah sejak gencatan senjata pada 27 November.
Serangan terakhir Israel ke atas Beirut sebelum ini berlaku pada akhir April dengan dakwaan bahawa mereka memusnahkan infrastruktur tempat penyimpanan peluru berpandu tepat milik Hizbullah.
Sumber: Al Jazeera