Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Rejim Israel ugut akan meningkatkan lagi operasi pembunuhan bersasar dan mengarahkan pemindahan penduduk di beberapa kawasan Gaza dengan alasan layang-layang yang diterbangkan oleh kanak-kanak dari wilayah itu.

Ancaman itu dibuat oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Israel Katz selepas beberapa layang-layang dilaporkan terbang merentasi sempadan Gaza. Tentera rejim Israel bagaimanapun mengakui empat layang-layang yang ditemui berhampiran Nahal Oz tidak mengandungi bahan mencurigakan dan tidak mendatangkan bahaya kepada orang awam.

Menurut laporan Anadolu, layang-layang tersebut kebanyakannya diterbangkan oleh kanak-kanak, khususnya dari kem-kem penempatan. Aktiviti tersebut merupakan salah satu usaha mencari sedikit ruang untuk berehat dan berhibur di tengah-tengah keadaan kehidupan yang sukar akibat serangan rejim Israel di wilayah itu.

Sebelum itu, Katz mengarahkan tentera rejim Israel untuk mengambil tindakan segera dan tegas terhadap layang-layang serta belon yang datang dari Gaza. Dia juga menyamakan layang-layang itu dengan dron tanpa mengira sama ada ia membawa bahan letupan atau tidak.

HAMAS mengecam tindakan itu dan menyifatkan penggunaan permainan kanak-kanak sebagai alasan untuk melancarkan serangan adalah bukti rejim Israel mahu meneruskan serangan, serta rancangan pemindahan paksa dan pemusnahan di Gaza.

HAMAS turut menggesa Amerika Syarikat (AS), negara pengantara dan pihak yang menjamin perjanjian gencatan senjata supaya mengambil tindakan bagi menghalang peningkatan serangan rejim Israel, serta memastikan pelaksanaan pelan gencatan senjata.

Penganalisis politik, Iyad al-Qarra pula berkata, ancaman tersebut berpotensi mempunyai tujuan ketenteraan dan politik domestik, termasuk mewujudkan alasan untuk memperluas serangan serta mengalihkan perhatian penduduk haram Israel ketika tempoh pilihan raya.

Beliau mempersoalkan bagaimana sebuah negara dengan kekuatan ketenteraan rejim Israel boleh menganggap layang-layang yang diterbangkan kanak-kanak sebagai ancaman keselamatan, sedangkan tentera rejim itu sendiri mengakui layang-layang yang ditemukan tidak berbahaya.

Perkembangan itu berlaku ketika Gaza masih berdepan kesan serangan dan sekatan berpanjangan, selain dakwaan pelanggaran berterusan terhadap gencatan senjata. Menurut data Kementerian Kesihatan Palestin, kekejaman Israel telah mengorbankan 1,286 orang dan mencederakan 4,257 yang lain.


Sumber: Shehab News, Anadolu Ajansi

Written by
Admin
Published on
August 24, 2026