Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Rejim Israel pada Rabu telah mengeluarkan arahan pemindahan paksa terhadap semua penduduk di selatan Lubnan, sekali gus memburukkan lagi gelombang perpindahan besar-besaran rakyat Lubnan ketika tentera rejim terus melancarkan serangan di seluruh negara itu.


Dalam satu kenyataan pada Rabu, tentera rejim Israel mengarahkan orang awam agar mengosongkan rumah masing-masing serta-merta dan bergerak ke arah utara melepasi Sungai Litani, susulan rancangan mereka untuk mengebom kawasan yang mereka dakwa sebagai pusat kumpulan Hizbullah. 


Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan hampir 60,000 rakyat telah menyelamatkan diri susulan serangan yang berlaku. Hal ini secara tidak langsung telah meningkatkan lagi jumlah sedia ada dengan puluhan ribu yang telah pun kehilangan tempat tinggal susulan perang antara Hizbullah dan Israel pada 2024.


Jurucakap tentera rejim Israel pada Rabu menunjukkan peta kawasan di selatan Lubnan yang menurutnya perlu dikosongkan oleh penduduk, meliputi kira-kira 8% daripada wilayah Lubnan. Sehari selepas Menteri Pertahanan wilayah haram Israel, Israel Katz memaklumkan bahawa dia membenarkan tenteranya mara dan menguasai kedudukan tambahan, tentera rejim Israel dilaporkan telah memasuki sekurang-kurangnya sembilan bandar di selatan Lubnan, menurut pegawai keselamatan kanan Lubnan kepada Reuters.


Ketua Hizbullah, Naim Qassem dalam ucapan televisyen pertamanya sejak konflik terbaharu bermula, menyifatkan serangan rejim Israel ke atas Lubnan sebagai pencerobohan yang dirancang dan menyeru pihak rejim agar menghentikan operasi ketenteraan serta berundur dari selatan Lubnan.


“Kami tidak akan menyerah walau apa pun harga yang perlu dibayar,” katanya, sambil menambah bahawa tindak balas Hizbullah tidak berkait dengan mana-mana peperangan lain.


Walaupun Israel sebelum ini mengeluarkan amaran supaya penduduk mengosongkan puluhan kampung di bahagian selatan, arahan yang dikeluarkan pada Rabu disifatkan sebagai paling serius setakat ini.


Arahan itu meliputi kawasan di antara sempadan hingga ke Sungai Litani yang mengalir ke Laut Mediterranean, kira-kira 10 kilometer di utara bandar pelabuhan bersejarah Tyre.


Kementerian Kesihatan Lubnan memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 72 orang terbunuh termasuk tujuh kanak-kanak dan 437 lagi cedera sejak Isnin dalam gelombang serangan rejim Israel yang menyasarkan kawasan selatan negara itu serta beberapa bahagian Beirut. Tiada kematian dilaporkan di Israel akibat serangan Hizbullah setakat ini. Sekurang-kurangnya 83,000 orang telah kehilangan tempat tinggal di seluruh Lubnan sejak Israel melancarkan semula serangan udara ke atas negara itu awal minggu ini, menurut angka terkini Kementerian Hal Ehwal Sosial Lubnan.


Hizbullah menyatakan pihaknya bertindak melancarkan serangan pada Isnin lalu sebagai respon terhadap pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam serangan AS-Israel pada Sabtu lalu.


Jurucakap tentera rejim Israel, Effie Defrin berkata lebih 250 sasaran Hizbullah di seluruh Lubnan telah diserang dalam tempoh 48 jam. Israel telah beberapa kali menceroboh Lubnan sejak 1978 dan pernah menduduki kawasan selatan negara itu sehingga tahun 2000 sebelum berundur susulan perang gerila berpanjangan dengan Hizbullah.



Sumber: Reuters, Al Jazeera

Written by
Admin
Published on
March 5, 2026