.png)
Rejim Israel dilaporkan memaklumkan kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa sistem pertahanan udaranya kini berada pada tahap sangat kritikal susulan kekurangan stok pemintas peluru berpandu balistik, ketika konflik dengan Iran semakin memuncak. Perkara itu dilaporkan oleh portal media AS, Semafor pada Ahad.
Menurut laporan itu, Israel memasuki konflik semasa dalam keadaan kekurangan stok, susulan penggunaan meluas peluru pemintas ketika pertembungan dengan Iran pada tahun lalu.
Seorang pegawai AS memberitahu Semafor bahawa situasi ini sebenarnya telah dijangka oleh Washington. “Perkara ini sudah dijangka dan diramalkan sebelum ini,” kata pegawai tersebut.
Tekanan terhadap sistem pertahanan peluru berpandu rejim Israel dilaporkan semakin meningkat berikutan skala serangan peluru berpandu Iran. Menurut laporan CNN, Iran kini mula melengkapkan peluru berpandu balistiknya dengan peluru berangkai (cluster munitions), satu perkembangan yang boleh menyukarkan usaha pemintasan serta mempercepat kehabisan stok pemintas pihak rejim.
Sementara itu, pihak rejim Israel cuba bergantung kepada rangkaian pertahanan udara berlapis yang merangkumi beberapa sistem bagi memintas ancaman jarak dekat dan jarak jauh.
Sistem Iron Dome direka terutamanya untuk memintas roket jarak dekat, manakala peluru berpandu jarak lebih jauh dipintas menggunakan sistem lain, termasuk yang dibangunkan dengan teknologi AS.
Pegawai AS memberitahu Semafor bahawa simpanan peluru pemintas AS sendiri masih berada dalam keadaan stabil walaupun terdapat kebimbangan mengenai konflik yang berpanjangan.
“Kami mempunyai semua yang diperlukan untuk melindungi pangkalan, anggota di rantau ini, serta kepentingan kami,” kata seorang pegawai AS seperti dipetik laporan itu. Pegawai yang sama turut menyatakan bahawa rejim Israel kini sedang bergelut mencari penyelesaian bagi menangani kekurangan peluru pemintas tersebut.
Pegawai Israel bagaimanapun menolak dakwaan bahawa negara itu sedang mengalami kekurangan peluru pemintas. Menurut laporan The Jerusalem Post, Menteri Luar Israel, Gideon Sa’ar telah menafikan laporan tersebut pada Ahad.
Namun begitu, pegawai Israel tidak mendedahkan butiran mengenai tahap sebenar simpanan peluru pemintas negara haram tersebut. Penafian seperti ini lazim berlaku ketika perang kerana kerajaan biasanya mengelakkan pendedahan kelemahan dalam sistem ketenteraan yang kritikal.
Tentera rejim Israel juga tidak memberikan maklum balas segera kepada permintaan Semafor untuk mengulas mengenai laporan kekurangan tersebut.
Sumber: The Palestine Chronicle