Sekurang-kurangnya 70 rakyat Palestin terbunuh dan ratusan lagi cedera selepas tentera Israel melepaskan tembakan menggunakan peluru kereta kebal, mesingan dan dron ke arah rakyat Palestin yang sedang berusaha mendapatkan bantuan di Gaza pada Selasa.
Menurut sumber, angka korban itu termasuk dalam 89 kematian yang direkodkan di seluruh wilayah yang dikepung sejak awal pagi.
Rejim Israel melepaskan tembakan ke arah orang awam yang kebuluran pada pagi Selasa ketika mereka berkumpul di sepanjang jalan utama di selatan bandar Khan Yunis bagi mendapatkan bantuan. Insiden itu merupakan serangan terbaharu dalam siri serangan di pusat agihan bantuan yang dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), sebuah organisasi yang turut disokong oleh Israel dan Amerika Syarikat.
Angka kematian dijangka terus meningkat memandangkan ramai mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal, menurut petugas perubatan di Hospital Nasser, tempat mereka sedang menerima rawatan.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmud Bassal, memaklumkan bahawa lebih 200 orang cedera dalam serangan itu, walaupun laporan mengenai jumlah sebenar mangsa masih bercanggah.
“Dron Israel menembak ke arah orang awam dan beberapa minit kemudian, kereta kebal melepaskan beberapa peluru ke arah mereka, menyebabkan ramai yang terbunuh dan cedera,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa orang ramai berkumpul di lokasi tersebut kerana berharap menerima bantuan makanan asas seperti tepung.
Menurut wartawan Al Jazeera, Hani Mahmoud, tentera Israel menghujani orang ramai dengan tembakan kereta kebal, mesingan berat dan serangan dron di bandar Gaza.
Jumlah kematian yang melebihi 70 orang menjadikan hari Selasa yang lalu sebagai hari paling berdarah di sekitar tapak agihan bantuan (GHF) setakat ini. Sebelum ini, rekod korban tertinggi dicatatkan pada Isnin, apabila 38 orang terbunuh — kebanyakannya di kawasan Rafah, selatan Khan Yunis.
Sejak operasi pengagihan bantuan oleh GHF dimulakan pada 26 Mei lalu, lebih 300 orang awam dilaporkan terbunuh manakala lebih 2,000 lagi cedera ketika cuba mendapatkan bantuan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres, menggesa agar keadilan ditegakkan susulan insiden pembunuhan terbaharu yang berlaku di tapak agihan GHF.
Dalam kenyataan yang dibacakan oleh timbalan jurucakapnya, Farhan Haq, di ibu pejabat PBB di New York, Guterres mengecam serangan ke atas orang awam yang kelaparan.
“Setiausaha Agung mengecam kehilangan nyawa dan kecederaan terhadap orang awam di Gaza, yang sekali lagi ditembak ketika mencari makanan. Ia adalah tidak boleh diterima,” kata Haq.
Setakat semalam, angka korban meningkat kepada 338 orang terbunuh dan lebih 2,800 cedera ketika cuba mendapatkan makanan berhampiran kawasan agihan bantuan.
Mangsa yang terselamat menggambarkan suasana di lokasi serangan sebagai amat mengerikan, dengan mayat bergelimpangan dan tubuh yang hancur berkecai akibat serangan bertalu-talu.
“Berpuluh-puluh orang awam termasuk kanak-kanak terbunuh dan tiada siapa yang dapat membantu atau menyelamatkan nyawa mereka,” kata Saeed Abu Liba (38 tahun) kepada wartawan Al Jazeera.
Yousef Nofal, yang menyifatkan kejadian itu sebagai satu pembunuhan beramai-ramai, berkata beliau melihat ramai mangsa terbaring tidak bergerak dan berlumuran darah.
“Tentera terus melepaskan tembakan ketika orang ramai cuba melarikan diri,” katanya.
Mohammed Abu Qeshfa berkata beliau terselamat hanya dengan keajaiban, sambil menyifatkan keadaan dipenuhi tembakan bertalu-talu dan serangan kereta kebal.
Wartawan Al Jazeera, Tareq Abu Azzoum yang melaporkan dari Deir el-Balah di tengah Gaza, berkata menurut sumber perubatan di Hospital Nasser, ramai mangsa tidak dapat dikenal pasti kerana tubuh mereka hancur berkecai akibat serangan tersebut.
GHF mula mengagihkan bantuan makanan di Gaza pada penghujung Mei, selepas Israel menarik balik sekatan total selama hampir tiga bulan ke atas kemasukan makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan lain.
PBB dan beberapa organisasi kemanusiaan utama enggan bekerjasama dengan GHF atas alasan yayasan itu dilihat mengutamakan kepentingan ketenteraan Israel berbanding keperluan kemanusiaan. Mereka turut menzahirkan kebimbangan bahawa GHF mengenepikan organisasi berpengalaman yang selama ini menyalurkan bantuan makanan dan perubatan kepada seluruh penduduk Gaza.
Sumber: Al-Jazeera