
Kumpulan anti-penempatan haram Israel, Peace Now melaporkan pada Isnin bahawa Majlis Perancangan Tinggi Israel dijangka bersidang pada Rabu, 29 April ini bagi meluluskan pelan perancangan pembinaan 643 unit perumahan di seluruh Tebing Barat yang diduduki.
Menurut Peace Now, pelan tersebut merangkumi 126 unit yang dijadualkan menerima kelulusan akhir di penempatan haram Sa-Nur, yang terletak di wilayah Jenin di utara Tebing Barat. Langkah ini dilihat mencerminkan peningkatan lebih luas dalam konteks pembangunan penempatan haram, khususnya di kawasan yang telah lama tidak ada permukiman.
Sa-Nur sebelum ini dikosongkan di bawah pelan disengagement rejim Israel pada tahun 2005. Namun, keputusan kabinet politik-keselamatan wilayah haram Israel pada Mei 2025 telah membuka jalan untuk menggerakkannya semula.
Perkembangan ini dimungkinkan melalui pindaan undang-undang terhadap Akta Disengagement oleh kerajaan haram Israel semasa, yang menghapuskan sekatan terhadap pembangunan penempatan haram di beberapa buah kawasan di utara Tebing Barat.
Peace Now menyifatkan proses kelulusan pantas bagi projek penempatan Sa-Nur sebagai “luar biasa” dan menunjukkan dasar jelas kerajaan untuk mengembalikan penempatan haram di kawasan yang pernah dikosongkan sebelum ini.
Menurut Peace Now, kadar perancangan pembinaan penempatan haram meningkat dengan begitu ketara dalam beberapa bulan belakangan ini, dengan Majlis Perancangan Tinggi kini bersidang setiap minggu dan meluluskan ratusan unit pada satu-satu masa.
Organisasi itu turut menyatakan bahawa situasi ini berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya, di mana kelulusan hanya dibuat beberapa kali sahaja setahun dan memerlukan kebenaran daripada menteri pertahanan pada setiap peringkat.
Perubahan yang diperkenalkan pada tahun 2023 ini bagaimanapun telah menghapuskan keperluan tersebut, sekali gus membolehkan peluasan penempatan haram dilakukan dengan lebih pantas dan kurang mendapat perhatian. Peace Now melaporkan bahawa pelan terbaharu ini turut meliputi 3,732 unit penempatan haram yang telah diluluskan atau dimajukan sepanjang tahun 2026.
Menurut QNN, jumlah pemukim haram kini dianggarkan sekitar 750,000 orang di seluruh Tebing Barat dan Baitul Maqdis Timur, yang tersebar di ratusan penempatan haram. Perluasan ini berlaku di tengah-tengah laporan berterusan mengenai serangan terhadap rakyat Palestin dan harta benda mereka, serta kebimbangan terhadap perubahan demografi di wilayah yang diduduki.
Sumber: The Palestine Chronicle