Rejim aparteid Israel pada petang Isnin, mengisytiharkan darurat di seluruh Israel sehingga 30 September 2024. Dalam masa yang sama, serangan terhadap Lubnan meningkat dan jangkaan serangan balas menggunakan roket oleh Hizbullah ke arah Israel turut menjadi antara kerisauan mereka, lapor agensi Anadolu.
Menurut akhbar harian Israel, Yedioth Ahronoth, Menteri Kabinet Israel mengundi bagi mengisytiharkan “special home front situation” di seluruh Israel.
Tambah akhbar tersebut, proses undian dilaksanakan melalui telefon seperti yang dicadangkan oleh Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant.
Akhbar harian Haaretz melaporkan bahawa di bawah pengisytiharan ini, tentera diberikan kuasa untuk mengeluarkan arahan kepada warga negara haram Israel, termasuk melarang perhimpunan, mengehadkan aktiviti pembelajaran dan mengeluarkan arahan tambahan yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawa.
Pengisytiharan ini dibuat susulan percubaan pembunuhan tentera Israel terhadap Ali Karaki, seorang Komander tentera Hizbullah yang berpangkat tinggi.
Radio Tentera Israel sebelum ini memetik sumber tentera mengatakan bahawa serangan udara di kawasan selatan Beirut mensasarkan Karaki. Tiada maklumat lanjut mengenai keadaannya dilaporkan.
Pihak berkuasa kesihatan Lubnan melaporkan sekurang-kurangnya 492 orang, termasuk 21 kanak-kanak, terbunuh dan 1,200 lagi cedera dalam serangan Israel sejak pagi Isnin dengan ribuan orang awam terpaksa meninggalkan kediaman mereka.
Hizbullah dan Israel terlibat dalam peperangan rentas sempadan sejak perang Israel ke atas Gaza tercetus pada 7 Oktober lalu.
Sumber: Middle East Monitor