.png)
HAMAS mengecam pengumuman Menteri Pertahanan rejim Israel, Israel Katz yang merancang untuk membina tiga penempatan haram baharu di utara semenanjung Gaza, sambil menyifatkan kenyataannya yang mengakui berasa gembira melihat kemusnahan Gaza sebagai bukti jelas niat awal rejim Israel untuk melakukan genosid terhadap rakyat Palestin.
Sebelum ini, Katz dilaporkan berkata bahawa kemusnahan besar-besaran di Gaza memberikannya perasaan yang baik, sambil menegaskan bahawa kemusnahan itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya adalah hasil daripada dasar yang disengajakan oleh rejim Israel.
Ketika lawatan ke utara Gaza yang disiarkan oleh Saluran 14 pada Isnin, Katz turut mengumumkan rancangan untuk membina tiga pos penempatan Nahal di utara Gaza, yang terletak di kawasan bekas penempatan haram rejim Israel sebelum pengundurannya dari Gaza pada tahun 2005.
Menurut Katz, penempatan tersebut bertujuan mengukuhkan kehadiran ketenteraan rejim Israel serta memperkukuh kawalannya di utara Gaza.
Mengulas perkara itu, HAMAS berkata pengumuman berkenaan sekali lagi memperlihatkan dasar pemindahan paksa dan pembersihan etnik yang menjadi pegangan pemimpin rejim Zionis, selain membuktikan usaha berterusan mereka untuk menjajah bumi Palestin dengan mengabaikan undang-undang antarabangsa serta Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
HAMAS turut menegaskan bahawa kenyataan Katz dan kerajaan fasis rejim Israel meletakkan negara-negara pengantara yang menjadi penjamin perjanjian gencatan senjata, termasuk pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengambil tanggungjawab untuk menghentikan tindakan provokatif rejim Israel yang cuba memaksakan realiti baharu di lapangan melalui kekerasan dan keangkuhan.
Menurut HAMAS, tindakan segera dan tegas perlu diambil bagi menghalang dasar peluasan wilayah yang sedang dilaksanakan oleh rejim Israel.
Sebelum ini, Katz mengakui bahawa rejim Israel telah meninggalkan pendekatan operasi ketenteraan sementara di Gaza. Katz berkata, "Sebelum ini tentera masuk dan kemudian berundur, namun kini mereka kekal berada di dalam, manakala pengganas berada di luar, sementara rumah-rumah terus dimusnahkan."
Kenyataan itu dilihat sebagai pengakuan terbuka bahawa kemusnahan kawasan awam di Gaza merupakan sebahagian daripada strategi ketenteraan rejim Israel.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin, lebih 73,000 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 173,000 lagi cedera sejak serangan rejim Israel bermula pada Oktober 2023, manakala kira-kira 91 peratus infrastruktur awam di Gaza telah musnah atau rosak.
Sehubungan dengan itu, HAMAS menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) serta semua mahkamah yang mempunyai bidang kuasa di seluruh dunia supaya mengeluarkan waran tangkap terhadap Israel Katz dan semua individu yang disifatkannya sebagai penjenayah perang rejim Zionis.
Sumber: The Palestine Chronicle, Shehab News