Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Menteri Pertahanan rejim Israel, Israel Katz mengarahkan tenteranya bersiap sedia untuk merampas sebuah lagi kem pelarian Palestin di Tebing Barat yang diduduki, sekali gus memberi isyarat kepada peluasan operasi ketenteraan rejim itu ketika serangan tentera dan pendatang haram Yahudi semakin memuncak di wilayah berkenaan.


Arahan itu dikeluarkan susulan insiden berdarah di perkampungan Tel, barat daya Nablus, pada Jumaat lalu yang menyaksikan empat rakyat Palestin syahid dan dua warga haram Israel terbunuh selepas sekumpulan pendatang haram Yahudi bersenjata menyerang penduduk Palestin di tanah milik mereka.


Menurut laporan media Israel, pihak tentera percaya seorang anggotanya berkemungkinan terbunuh akibat tembakan rakan sendiri ketika insiden tersebut.


Susulan kejadian itu, Katz mengarahkan operasi ketenteraan diperluas di Tebing Barat serta meminta tentera membuat persiapan untuk menguasai sebuah lagi kem pelarian, selepas operasi sebelum ini dilancarkan di Jenin, Tulkarem dan Nur Shams yang menyebabkan ribuan rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal.


Dalam perkembangan sama, Menteri Keselamatan wilayah haram Israel, Itamar Ben-Gvir, sekali lagi menggesa tindakan lebih keras terhadap rakyat Palestin.


Dia mendakwa setiap kematian warga Yahudi perlu dibalas dengan rampasan tanah dan pemusnahan rumah penduduk Palestin, selain menyeru supaya bandar-bandar Palestin yang didakwa menjadi lokasi serangan terhadap warga Israel dilayan seperti Beit Hanoun di utara Gaza yang hampir musnah sepenuhnya akibat operasi ketenteraan rejim Israel.


Kenyataan itu mencetuskan kebimbangan bahawa rejim Israel sedang bersedia memperluaskan lagi operasi ketenteraan serta mempercepat dasar pemindahan paksa rakyat Palestin di Tebing Barat.


Di lapangan, tentera rejim Israel dilaporkan merobohkan tiga buah rumah milik rakyat Palestin, melancarkan puluhan tangkapan di beberapa wilayah, meneruskan rampasan tanah serta operasi perobohan, manakala pendatang haram Yahudi terus menyerang penduduk Palestin dan harta benda mereka di beberapa kawasan.


Sementara itu, HAMAS mengecam kenyataan Katz yang menggesa pemusnahan sebuah kem pelarian di Tebing Barat serta pemindahan penduduknya, dengan menyifatkannya sebagai seruan berunsur fasis dan mencerminkan dasar pemusnahan yang diamalkan oleh kepimpinan rejim Israel.


Gerakan itu turut mengaitkan kenyataan tersebut dengan gesaan terdahulu oleh Itamar Ben-Gvir dan Menteri Kewangan wilayah haram Israel, Bezalel Smotrich, yang menyeru supaya model pemindahan penduduk seperti di kem pelarian Jenin dan Tulkarem diperluas ke kawasan lain.

HAMAS menegaskan bahawa pembunuhan, kemusnahan dan operasi ketenteraan berterusan di bandar serta kem pelarian di Tebing Barat tidak akan mematahkan semangat rakyat Palestin untuk terus mempertahankan tanah air mereka.


Sumber: Shehab News, The New Arab

Written by
Admin
Published on
July 29, 2026