Pada peringkat awal perang, tentera Zionis telah menghalau rakyat Palestin dari kawasan kejiranan berhampiran sempadan dan memusnahkan kawasan itu bagi mewujudkan zon penampan sedalam lebih 1km, menurut kumpulan hak asasi Israel, Breaking the Silence.
Tentera Zionis turut merampas tanah di seluruh Gaza yang dikenali sebagai Koridor Netzarim, yang memisahkan kawasan utara termasuk Bandar Gaza daripada wilayah sempit di tepi pantai itu yang menempatkan lebih 2 juta penduduk.
Apabila Israel menyambung semula perang bulan lalu, mereka menggandakan saiz zon penampan tersebut, menolaknya sehingga sejauh 3km ke dalam Gaza di sesetengah tempat, menurut peta yang dikeluarkan oleh Israel. Zon penampan dan Koridor Netzarim kini merangkumi sekurang-kurangnya 50% daripada wilayah Gaza, menurut laporan AP yang memetik kenyataan Yaakov Garb, seorang profesor kajian alam sekitar di Universiti Ben Gurion yang telah mengkaji corak penggunaan tanah Israel-Palestin selama beberapa dekad.
Minggu lalu, Netanyahu menyatakan bahawa Israel berhasrat untuk mewujudkan satu lagi koridor yang membelah selatan Gaza, memutuskan Bandar Rafah daripada wilayah lain. Kawalan Israel ke atas Gaza menjadi lebih meluas jika diambil kira kawasan-kawasan di mana mereka mengarahkan orang awam berpindah sebelum serangan dilancarkan.
Sumber: Al Jazeera