Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Rejim Israel telah melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas ibu kota Syria, Damsyik dan kawasan selatan negara itu termasuk Suwayda. Serangan tersebut menyasarkan Kementerian Pertahanan Syria dan kawasan berhampiran Istana Presiden, mengakibatkan sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan lebih 30 orang cedera. 


Menurut sumber perubatan Syria, seramai lima anggota pasukan keselamatan terbunuh dalam serangan berkenaan. Wartawan Reuters di lokasi melaporkan, pesawat tempur dilihat terbang pada altitud rendah sebelum melepaskan beberapa siri serangan di tengah kota, menyebabkan kawasan itu diselubungi kepulan asap tebal.


Serangan tersebut berlaku ketika pertempuran sengit selama empat hari yang tercetus di Suwayda dan kawasan sekitarnya. Difahamkan serangan tersebut melibatkan kumpulan bersenjata Druze, suku Badwi dan pasukan kerajaan Syria. Pertempuran itu meragut lebih 300 nyawa, termasuk wanita dan kanak-kanak.


Pihak berkuasa Syria mengecam tindakan Israel, menyifatkannya sebagai sebahagian daripada dasar sistematik untuk mencetuskan ketegangan, menggugat kestabilan dan campur tangan dalam urusan hal ehwal negara.


Ketua Turus Tentera Israel, Eyal Zamir menegaskan bahawa Israel tidak akan membenarkan selatan Syria menjadi kubu pengganas. Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz menyatakan tentera Israel akan terus beroperasi dengan agresif di Suwayda sehingga pasukan yang menyerang Druze berundur sepenuhnya.


Sementara itu, Israel menegaskan bahawa pihaknya berhak mengambil tindakan terhadap sebarang ancaman di sempadan pada bila-bila masa dan di mana sahaja demi keselamatan negara haramnya.


Penganalisis berpendapat bahawa tindakan ketenteraan Israel mencerminkan kecenderungan mereka untuk memilih pendekatan dominasi ketenteraan berbanding penyelesaian diplomatik dalam menangani ketegangan serantau. Serangan itu juga mencerminkan keazaman Israel untuk campur tangan secara langsung dalam konflik Syria dengan menggunakan alasan melindungi komuniti minoriti Druze sebagai justifikasi tindakan ketenteraannya.


Sumber: Reuters, Al Jazeera

Written by
Admin
Published on
July 17, 2025