Latest News

Stay updated with the latest developments and news


Tentera haram Israel melancarkan satu lagi serbuan awal pagi Isnin di bandar Tubas dan pekan berdekatan, Aqaba, utara Tebing Barat yang dijajah. Serbuan dilancarkan sehari selepas mereka berundur daripada kawasan itu susulan operasi ketenteraan selama empat hari.


Menurut wartawan Anadolu, sejumlah besar tentera haram Israel dikerahkan di seluruh bandar dan pekan tersebut, dalam masa yang sama membuat pengumuman perintah berkurung sehingga diberitahu kelak.


Selain itu, jentolak tentera turut digerakkan untuk menutup jalan dan memutuskan hubungan antara beberapa kawasan dalam wilayah tersebut.


Sementara itu, saksi memberitahu Anadolu bahawa tentera haram Israel menyerbu beberapa rumah penduduk Palestin dan menukar sebahagiannya menjadi kedudukan ketenteraan sementara.


“Operasi (serbuan) ini berlaku hanya beberapa hari selepas serangan yang menyebabkan kemusnahan besar terhadap harta awam dan persendirian, serta ratusan kecederaan dan penahanan dalam beberapa hari kebelakangan ini,” kata Pentadbiran Wilayah Tubas dalam satu kenyataan.


Dalam kenyataan berasingan, Direktorat Pendidikan Tubas mengumumkan bahawa semua sekolah dan tadika akan beralih kepada pembelajaran jarak jauh berikutan perintah berkurung yang dikenakan tentera haram Israel bermula jam 4 pagi hari ini dan berterusan sehingga diberitahu kelak.


Sebelum ini pada Rabu lalu, tentera haram Israel melancarkan operasi ketenteraan selama empat hari di wilayah Tubas yang merangkumi bandar itu, beberapa kampung sekitarnya dan kem pelarian al-Fara’a.


Tentera Israel terus meningkatkan serangan di Tebing Barat sejak tercetusnya perang di Gaza pada Oktober 2023. Sejak itu, lebih 1,085 rakyat Palestin telah terbunuh dan 10,700 lagi cedera dalam serangan oleh tentera serta peneroka haram Israel di wilayah yang diduduki. Lebih 20,500 orang juga telah ditahan.


Sumber: Anadolu Ajansi

Written by
Admin
Published on
December 1, 2025